nuff

Cari laman web

Google

LAMAN UTAMA

Huzaifah al-Yaman ~ Pembanteras Munafiq ~

SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 14)

Beliau daripada keturunan Bani Abs daripada Mekah, tetapi menetap di Madinah. Bapanya, al-Yaman antara yang terawal memeluk Islam. Justeru itu Huzaifah juga menjadi antara pemuda terawal memeluk Islam di Madinah, lama sebelum baginda berhijrah ke sana lagi.

Oleh kerana belum pernah melihat Rasulullah, beliau sangat teringin untuk bertemu baginda. Setiap kali mendengar khabar Rasulullah dari bapanya yang berulang-alik antara Mekah dan Madinah, hatinya semakin rindu dengan batang tubuh manusia agung itu.

Dek kerinduan yang tidak tertahan, akhirnya pada suatu hari pergilah beliau ke Mekah bagi bertemu baginda. Alangkah gembiranya tatkala dapat berjumpa insan yang sangat dirindui itu. Antara soalan pertama yang ditanya:
"Ya Rasulullah. Aku ini orang Mekah. Tapi tinggal di Madinah. Apakah aku Muhajirin atau Ansar?"

Jawab baginda:
"Kamu pilihlah, mahu jadi muhajirin atau ansar."

Huzaifah membalas:
"Aku mahu jadi Ansar."

Tatkala Rasulullah berhijrah ke Madinah, beliau mendampingi Nabi sepanjang masa. Hasilnya Rasulullah SAW mendapati beliau dikurniakan 3 kelebihan iaitu kepintaran akal yang hebat sehingga mampu menyelesaikan masalah rumit, mudah faham dan pantas menyahut setiap arahan, serta pandai menyembunyikan rahsia.

Di era Madinah, umat Islam menghadapi suatu masalah besar iaitu ramai orang-orang munafiq di dalam saf umat Islam. Nabi memilih Huzaifah sebagai satu-satunya sahabat yang diberitahu semua nama-nama orang munafiq. Tujuannya supaya beliau mengawasi gerak geri munafiqin dan bertindak dengan sewajarnya bagi menghalang tipudaya mereka.

Beliau menyimpan rahsia ini sehingga mati. Acap kali dia ditanya oleh sahabat siapakah orang munafiq, tapi dia tidak pernah membocorkannya. Apabila berlaku kematian dikalangan sahabat, saidina Umar akan melihat adakah Huzaifah pergi solat jenazah atau tidak. Jika tidak, beliau juga tidak ikut solat kerana menganggap dia seorang munafiq.

Dalam perang Khandaq, Rasulullah menugaskan beliau untuk menjadi pengintip. Beliau berlakon menjadi tentera musuh dan masuk ke kawasan musuh secara senyap bagi mengambil maklumat yang dikehendaki Rasulullah sebelum memutuskan strategi seterusnya.

Ketika sampai dalam kawasan musuh, tiba-tiba pemimpinnya Abu Sufyan bangun berucap:
"Wahai kaumku. Ada satu perkara penting yang ingin aku katakan. Tetapi aku bimbang jikalau perkara ini diketahui Muhammad. Maka perhatikan setiap orang di sebelah kalian, pastikan tiada seorangpun yang mencurigakan."

Sebelum dirinya disedari, cepat-cepat Huzaifah memegang tangan seorang lelaki yang berada di sisinya lalu berkata:
"Siapa kamu?"

Lelaki itu berkata aku fulan bin fulan. Dengan cara itu, beliau selamat dari disoal siasat oleh orang lain.

Selain itu, beliau juga seorang panglima perang yang hebat. Ramai yang tidak mengetahui bahawa Kota Nahwand, Dainawar, Hamazan dan Rai yang sebelum ini dibawah pemerintahan Parsi berjaya dibebaskan olehnya. Saidina Umar sewaktu menjadi khalifah amat mempercayainya sehingga menyerahkan kuasa mutlak kepada beliau dalam membuat apa-apa keputusan ketika menjadi gabenor, berbeza dengan gabenor lain yang perlu mengikut arahan Saidina Umar.

Saidina Umar pernah bertanya Huzaifah:
"Apakah terdapat orang munafiq dikalangan kakitanganku?"

Huzaifah menjawab: "Ya. Ada seorang."

Saidina Umar bertanya siapakah dia, namun Huzaifah tidak memberitahu. Tidak lama selepas itu kata Huzaifah, orang tersebut telah dipecat oleh Saidina Umar, seolah-olah Allah memberi petunjuk kepada beliau.

Nabi pernah bersabda: "Setiap apa yang dikatakan oleh Huzaifah maka percayailah."

Walaupun beliau bijak dan hebat, tetapi hatinya amat takutkan Allah. Sebelum wafat beliau berpesan agar berpada-pada menggunakan kain untuk kafankan jasad beliau, dan mendermakan lebihannya kepada orang lain supaya tidak dipersoal di hari akhirat.

Kata beliau ketika sedang nazak:
"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha mengetahui aku lebih cintakan kemiskinan dari kekayaan, kehinaan dari kemuliaan, dan kematian dari kehidupan.."

Beberapa saat sebelum menghembus nafas terakhir, beliau sempat berkata:
"Kekasihmu sedang tiba penuh kerinduan.."

Huzaifah adalah watak penting dalam perjuangan awal Islam. Keberadaannya menjamin keselamatan gerakan Islam di era Nubuwwah. Beliau berperanan menyekat ancaman musuh dalam selimut. Beliau juga menjalankan tugas-tugas berprofil tinggi dalam mencari maklumat sulit yang tidak diketahui umum.

Dalam konteks gerakan Islam, watak Huzaifah mungkin tidak digemari sesetengah ahli yang tidak bermaklumat, kerana bersikap dingin terhadap saudara sendiri. Tetapi oleh kerana beliau memiliki maklumat dalaman bahawa orang tersebut sebenarnya satu ancaman, beliau tetap menjalankan peranannya demi Islam yang dikasihi.

Kisah Huzaifah mengajar bahawa sifat hazar perlu sentiasa ada pada sesebuah gerakan Islam. Semakin besar gerakan itu, semakin ramailah pengkhianat dan ejen musuh di dalamnya. Sehingga ke baginda SAW wafat, munafik masih wujud dalam saf Islam. Maka begitulah halnya mana-mana gerakan Islam, pasti tidak akan suci dari golongan tersebut selama-lamanya.

Allahumma, sesungguhnya ayat-ayat munafiq dalam al-Quran tidak pernah dimansuhkan!

14 Ramadhan 1438
9 Jun 2017

(Alang Ibn Sukrimun

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...