nuff

Cari laman web

Google

LAMAN UTAMA

TAUBAT SEORANG LELAKI

Suatu malam yang hening, kelihatan seorang lelaki
berjalan-jalan di sekitar Madinah dalam keadaan lapar.
Dia berhenti di luar sebuah rumah kerana terhidu bau
makanan. Imannya belum cukup kuat untuk membuat
pertimbangan yang waras dalam menyuluh tindak
tanduknya. Kerana terliur dengan makanan itu, dia
menyusup masuk ke dalam rumah tanpa izin tuan rumah
tersebut.
Melihat makanan yang menyelerakan di satu sudut
rumah, dia segera mencapainya. Tetapi tiba-tiba dia
teringatkan sesuatu. Kata-kata yang didengarnya
daripada Rasulullah s.a.w dalam satu majlis ilmu di
Masjid Nabi siang tadi terlintas dibenaknya. Rasulullah
berpesan, "Barangsiapa meninggalkan yang haram, dia
akan mendapat yang halal." Mengingatkan kata-kata itu,
dia tidak jadi untuk mengambil makanan tadi. Dia hendak
segera beredar, tetapi ada godaan lain pula. Telah
terlihat olehnya barang kemas. Kalau dia ambil, tentu
tidak ada siapa tahu. Segera barang kemas itu
digenggamnya. Namun sekali lagi niat jahatnya
dimatikan. Teringat lagi dia kepada pesan Rasulullah
s.a.w, "Tinggalkan yang haram, dapat yang halal."
Diletak kembali barang yang berharga itu. Haram
mengambil barang milik orang lain. Namun, sebelum dia
beredar...datang lagi satu godaan yang lebih besar.
Dadanya berdebar kencang apabila melihat seorang wanita
cantik sedang lena tidur di kamar peraduannya. Pintu
kamar itu dilangkah masuk. Wanita itu dirapatinya.
Tangannya menggeletar, peluh memercik membasahi tubuh.
Nafsu membisikkan kata-kata indah untuknya. Berlaku
perebutan nafsu dan bisikan kata-kata Rasulullah s.a.w,
" Tinggalkan yang haram, akan dapat yang halal."
Akhirnya dia beristighfar dan perlahan-lahan
beredar. Berkat pesanan Rasulullah s.a.w yang melekat
di sanubarinya, dia berjaya mematahkan keinginan
nafsunya. Kelegaan yang amat sangat terasa di hatinya
apabila keluar dari rumah wanita tadi dan kemudian
memijakkan kaki di Masjid Nabi.
Kerana berjaya dalam peperangan sengit mengalahkan
nafsu yang mengajak kepada yang haram, dia diberi
ketenangan yang luar biasa oleh Allah SWT.Seketika
kemudian, subuh tiba. Selepas solat subuh berjemaah,
lelaki itu merebahkan diri di masjid kerana terlalu
mengantuk akibat berjaga semalaman. Apabila matahari
telah meninggi, seorang wanita datang bertemu dengan
Rasulullah s.a.w di masjid. Dia mengadu rumahnya
dimasuki orang. Dia takut diganggu lagi, lalu memohon
mendapakan seorang pengawal yang dapat menjaga harta
bendanya. Setelah ditanya, rupanya si wanita itu
seorang janda. Baginda memandang sekeliling kalau-kalau
ada orang yang dapat menjaga wanita itu. Melihat lelaki
yang sedang lena di suatu sudut masjid, baginda
menemuinya. Ditanyakan siapakah gerangannya dan adakah
dia telah beristeri. "Saya seorang duda," jawab lelaki
itu yang hidupnya kurang terurus selepas kematian
isterinya. Baginda bertanya apakah kedua-dua janda dan
duda itu bersetuju untuk dijodohkan. Mereka berdua
tersipu malu.
Kerana terharu dengan pilihan Rasulullah s.a.w dan
teringat perbuatannya malam tadi, lelaki itu tidak
dapat menahan diri daripada menangis lalu menceritakan
apa yang sebenarnya berlaku di rumah wanita tersebut.
Lalu, dia bertaubat. Akhirnya Rasulullah s.a.w berkenan
menikahkan lelaki dan wanita itu dengan disaksikan oleh
para Sahabat. Demikianlah, berkat meninggalkan yang
haram, dia mendapat yang halal sebagai gantinya. Kini,
wanita cantik itu dan segala di dalam rumah itu menjadi
halal baginya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...