part 1:
Mukadimah
Islam mempunyai sistem cukainya yang tersendiri. Sumber kepada sistem
percukaian Islam ialah al-Quran, Sunnah Rasulullah SAW, ijmak dan kias.
Ia telah diturunkan bukan sahaja adil bagi manusia keseluruhan,
tetapi ia juga merupakan sistem yang mengstabilkan ekonomi, khususnya
keseimbangan antara kuasa modal dan kuasa beli rakyat sebagai penjana
produktivi.
Asas Ukuran Keharusan Cukai
Sesuatu hukum dirujuk kepada hukum asal yang telah dinaskan oleh
sumber al-Quran dan al-Hadis. Hukum asal berkaitan harta orang lain
adalah haram diambil melainkan mempunyai sebab yang dibenarkan syariat.
Ini berpandukan kepada firman Allah SWT, bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan)
harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan
sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka
sama suka di antara kamu.”- (An-Nisa’: 29).
Di antara dalil yang lain ialah pesanan Rasulullah sewaktu Haji Wada’
(Haji Selamat Tinggal), antara lain nabi SAW berpesan, bermaksud:
“Wahai orang ramai, sesungguhnya orang yang beriman adalah saudara,
tidak halal bagi seseorangpun (mengambil) harta saudaranya melainkan
dengan kerelaannya.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.
Hadis ini memaksudkan selain daripada zakat dan perkara-perkara yang
dinaskan harus atau wajib diambil seperti zakat, yakni zakat bukan milik
si pemunya harta bahkan ia adalah milik si fakir, miskin dan
asnaf-asnafnya. Begitu juga tidak termasuk isteri atau anak dibawah
tanggungannya kerana ia dianggap sebagai seakan-akan sekutu pemilikan.
Adapun selainnya, maka ia adalah milik si pemunya dan tidak boleh
diambil melainkan degan kerelaannya oleh sesiapapun termasuk kerajaan.
Dan sabda nabi SAW, Maksudnya:
“Apabila mereka melakukan demikian (Islam) maka darah dan harta
mereka mereka adalah terpelihara melainkan (harta boleh diambil) dengan
cara-cara yagn dibenarkan oleh Islam.”– Riwayat Bukhari.
Di dalam kitab Fathul Bari, Syarah Sahih Bukhari menyebut, zakat
adalah salah satu cara pengambilan yang dibenarkan oleh Islam (sekalipun
tuannya tidak merestuinya).
Ayat di atas menegaskan memakan harta orang lain adalah haram dan
dikategorikan bentuk memakannya adalah batil. Ayat tersebut seterusnya
menyenaraikan bentuk pengecualian yang mengharuskan mengambil harta
orang, salah satunya ialah perniagaan.
Berdasarkan ayat ini, hukum asal memakan, mengambil dan memiliki
harta orang lain tanpa sebab yang dibenarkan syariat adalah haram
sehinggalah ada sebab dan dalil yang diharuskan syariat. Ia berbeza
dengan hukum asal makanan, minuman dan bentuk muamalat, di mana hukum
asal bagi semua perkara tersebut adalah harus kecuali ada tanda-tanda
yang menunjukkan haram.
Justeru, apabila kita bertransaksi atau memakan sesuatu makanan yang
tiada dalil dan bukti halal atau haram, maka hukum transaksi dan makanan
itu adalah halal justeru merujuk kepada hukum asalnya yang harus.
Tetapi berbeza dengan pengambilan harta atau wang milik orang, yakni
hukum asalnya haram berdasarkan ayat di atas, kecuali ada dalil dan
bukti halal. Justeru, apabila kita mengambil wang milik orang, jika
tiada dalil dan bukti halal atau haram, maka hukumnya adalah haram
justeru merujuk kepada hukum asalnya yang haram.
Sebagai contoh, kita boleh mengambil wang RM50,000 daripada Ahmad
sebab kita jual kereta kepadanya. Sebab keharusan ialah jual beli
(Al-Bai’). Kita boleh ambil wang daripada Ali sebanyak RM10,000 kerana
kita membuat ubah suai rumahnya. Sebab keharusan ialah upah (ujrah).
Kita boleh mengambil jam milik Ah Chong selepas kita membayarnya wang.
Sebab keharusan ialah jual beli. Kita boleh mengambil wang daripada Abu
kerana agihan keuntungan perniagaannya yang bermodalkan wang kita. Sebab
keharusan ialah pelaburan (Mudharabah).
Apabila kita berjalan dan jumpa wang RM50,000, maka kita tidak boleh
mengambilnya kerana tiada jual beli, tiada upahan kerja, tiada
pengeluaran modal, tiada sebab-sebab yang membolehkan, maka hukumnya
haram diambil dan RM50,000 tersebut dianggap sebagai harta laqatah
(barang ciciran).
Maka hendaklah kita bertanya berkenaan GST, apakah sebab yagn
membolehkan kerajaan mengambilnya daripada rakyat? Jika tiada sebab
‘sebenar’, maka hukumnya kembali kepada asal, iaitu haram dan termasuk
di dalam kategori batil. begitu juga jika pemindahan hak berlaku dengan
sebab, tetapi sebab itu tidak diiktiraf oleh Islam, maka ia juga adalah
batil. Contohnya seperti pemenang judi yang mengambil bahagian pemain
judi yang kalah, sekalipun judi adalah sebab pemindahan milik, tetapi ia
tetap dikategorikan sebagai baatil kerana judi itu sekalipun sebab
pengambilannya wujud, tetapi ia tidak diiktiraf oleh syarat.
Adakah Hukum Ini Terlaksana Juga Ke Atas Kerajaan Mengambil Wang Rakyat?
Selepas kita memahami bahawa hukum asal harta orang adalah haram
kecuali dengan sebab yang dibenarkan syariat, maka persoalan
keseterusnya adakah hukum ini terpakai atau terlaksana hanya ke atas
individu dengan individu, manakala kerajaan terkecuali dengan dibolehkan
ambil harta dan wang poket rakyat berhujahkan maslahah?
Di dalam mazhab ahlu sunnah wal jamaah, hukum ini bukan sahaja
terlaksana antara individu dengan individu, tetapi ia juga terlaksana
antara kerajaan dengan rakyat. Dalilnya cukup jelas daripada realiti
berikut:
1. Pesanan nabi kepada Muaz bin Jabal sewaktu beliau diutuskan ke
Yaman sebagai Gabenor. Baginda memberikan pesanan kepada beliau dengann
kata-kata berbunyi: ”Awasilah harta-harta suci yang dimiliki oleh orang
Yaman”. Harta-harta suci yang dimaksudkan ialah harta yang dimiliki
bukan bahagian zakat atau jizyah. Dalam riwayat Bukhari menyebut dengan
lafaz: takutilah (daripada mengambil) harta-harta mereka yang suci.
2. Arahan Umar Abdul Aziz (Khalifah dari tahun 99H-101H) kepada semua
gabenor supaya menghapuskan semua cukai kecuali ia mempunya nas
daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Cukai-cukai zalim ini telah
dikenakan sebelum ini khususnya pada zaman Hajjaj Yusof At-Thaqafi yang
terkenal dengan kezaliman pemerintahannya di Syam, Iraq, Mekah dan
Madinah dari tahun 70H – 95H.
Di dalam kitab Al-Bidayah wa An-Nihayah karangan Imam Ibnu Kathir
menceritakan, tatkala Saidina Umar Abdul Aziz menjadi Khalifah, beliau
memerangani pemimpin-pemimpin zalim sebelumnya yang telah mengenakan
pelbagai cukai kepada rakyat. Antara salsilah pemerintah sebelum ini
yang sangat dibenci oleh Umar Abdul Aziz ialah Yazid bin Mahlab, iaitu
ipar kepada Hajjaj bin Yusof As-Thaqafi. Yazid bin Mahlab telah
ditangkap oleh Adi bin Arthoh dan menyifatkan Yazid dan keluarganya
(Mahlab dan Hajjaj) sebagai: “Mereka adalah pemerintah kuku besi dan aku
bencikan mereka”. Saidina Umar Abdul Aziz memerintahkan supaya Yazid
dipenjarakan sehingga semua harta orang ramai yang dikutip sebelum ini
dikembalikan semula. (Al-Bidayah: m/s666). Pernah anak kepada Yazid
bernama Makhlad meminta kelonggaran hukuman untuk ayahnya Yazid, tetapi
Umar bertegas menyatakan bahawa ia tidak akan meringankan hukuman
sehingga Yazid menyerahkan semua harta rakyat.
Begitu juga Saidina Umar Abdul Aziz telah menghantar kepada Gabenor
Khurasan Al-Jarah bin Al-Hukmi yang telah mengenakan cukai Jizyah ke
atas non-muslim yang telah memeluk Islam dengan alasan mereka memeluk
Islam kerana ingin lari daripada Jizyah. Saidina Umar Abdul Aziz memecat
Gabenor tersebut dengan menulis, maksudnya:
“Sesunggunyanya Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai pendakwah bukan sebagai pengutip cukai.”
Di dalam satu riwayat yang lain, Saidina Umar juga memerangi Gabenor
di Mesir yang telah mengenakan cukai pelabuhan dan mempertikaikan
tindakan Umar Abdul Aziz untuk menghapuskan semua cukai yang tiada nas.
Itulah antara sebab menjadi ‘purchasing power’ rakyat pada zaman Umar
Abdul Aziz meningkat, seterusnya memenuhi Baitul Mal. Kesannya tiada
lagi penerima zakat dan pemberian selepas itu sehingga harta melimpah
ruah. Velocity of Money terbaik berbanding sistem-sistem yang lain
daripada Islam.
Itu antara contoh tindakan dan pendirian Khulafa ar-raasyidun yang
diiktiraf oleh nabi sebagai ikutan (perbuatan mereka adalah hujah),
tidak mengenakan cukai-cukai yang tidak dinaskan oleh al-Quran dan
Sunnah Rasulullah SAW.
Semua dalil di atas adalah berkait dengan kerajaan mengambil wang
rakyat. Jika pengharaman memakan harta orang lain tanpa sebab hanya
diharamkan ke atas individu dan bukan kerajaan, nescaya kisah di atas
tidak akan timbul dalam sejarah.
Apabila kita meneliti pendapat yang mengharuskan pengambilan harta
rakyat tanpa bersumberkan kepada nas, kita dapati mereka keliru antara
pendapat ahlu sunnah wal jamaah dan syiah. Ya, sebahagian syiah
membenarkan pemimpin-pemimpin mereka mengambil harta rakyat sekalipun
tanpa sebab kerana fiqh mereka bersumberkan akidah bahawa Imam
(pemimpin) adalah maksum. Berbeza dengan Ahlu Sunnah wal jamaah, yakni
akidah kita pemimpin tidak maksum, maka pemimpin tidak boleh mengambill
harta orang lain tanpa sebab dan berasaskan maslahah akal semata-mata
tanpa dipandu oleh nas.
Tuntasnya, hujah maslahah seterusnya membolehkan pemimpin negara
mengutip wang rakyat sesuka maslahah, maka itu adalah amalan dalam fiqh
syiah, bukan fiqh sunni.