Melihat pada akhir-akhir ini banyak berlaku letupan di Turki, di
Ankara dan Istanbul khususnya. Hari ini pula kita dikejutkan lagi dengan
letupan ke-5 yang mengorbankan orang awam di salah sebuah Bandar Utama
di Turki, iaitu Istanbul. Mungkin ramai yang tertanya atas sebab dan
matlamat apa usaha jahat ini dilakukan di Turki. Negara yang populasinya
96.50% muslim dan kini mula dilihat sebagai salah satu negara yang
diharap akan memimpin umat Islam dalam menangani isu-isu utama yang
membelenggu umat Islam yang tertindas pada saat ini.
Ramai juga
yang tertanya siapakah dalang kepada letupan berani mati yang seringkali
dilakukan di Turki. Nama-nama organisasi seperti PKK, YPG, PYD dan ISIS
sering dikaitan sebagai dalang kepada operasi jahat ini. Ramai yang
mengatakan Turki akan menjadi tidak aman sepertimana negara-negara lain
yang berhampiran dengannya seperti Syria, Iraq dan Mesir.
Namun,
ini kami katakan bahawa situasi di Turki adalah berbeza dengan
negara-negara arab yang lain. Apa yang terjadi di Turki bukanlah kerana
Revolusi atau ketidakpuasan hati rakyat Turki namun apa yang terjadi
sekarang di Turki adalah kerana perasaan hasad dengki dan juga campur
tangan kuasa luar yang tidak mahu Turki terus berada dalam keadaan aman
dan bergerak lebih maju kehadapan.
Namun sebelum kita berbicara
lebih mengenai situasi semasa, kita perlu melihat kepada sejarah dan
asal usul punca mengapa perkara ini terjadi dan bagaimanakah permusuhan
dan perselisihan antara golongan berhaluan kiri ini bermula di Turki.
Situasi yang berlaku pada hari ini bertitik tolak apabila Penubuhan
Republik Turki pada tahun 1922 yang secara langsung menamatkan sistem
pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah ini telah menafikan sebarang hak
bangsa lain selain Turki.
Semasa era Khilafah Uthmaniyyah, bumi
Uthmaniyyah ini tidak hanya didiami oleh orang berbangsa Turki, namun ia
adalah sebuah “Devlet-i Aliyye Uthmaniyah” yang mempunyai rakyat yang
berbagai bangsa, bahasa dan agama. Ia adalah sebuah kedaulatan yang
menghormati dan meraikan perbezaan bangsa, bahasa dan agama seperti mana
yang telah diajarkan oleh junjungan besar kita Rasullullah s.a.w dan
juga dinyatakan dalam Al-Quran dalam Surah Al-Hujarat : 13 yang berbunyi
:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬
وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ
إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ
خَبِيرٌ۬
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan
kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai
bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra
antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi
Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya).
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). "
Hal ini sudah diamalkan oleh Daulah Uthmaniyyah sejak ratusan tahun, hatta sejak Daulah ini ditubuhkan pada tahun 1299~ lagi.
Namun apabila perjanjian “Sykes-Picot” pada tahun 1916 dilaksanakan
semasa perang dunia pertama, kedaulatan yang mempunyai berbeza bangsa,
ras kulit, bahasa dan agama ini mula dipecah-pecahkan mengikut kaum dan
mulanya tertubuh negara-negara bangsa yang membangkitkan ideologi
nasionalism yang sempit.
Umat manusia yang hidup bersama-sama
dalam kepelbagaian dan keunikan ini mula dipecah-pecahkan mengikut
bangsa dan bahasa mereka. Ruh surah Al-Hujarat ini mula dinafikan dan
dilupakan, Umat islam tidak lagi bersatu atas pegangan aqidah, namun
bersatu atas pegangan bangsa dan bahasa.
Namun tidak semua bangsa
bernasib baik, bangsa seperti Kurdi, Ahiska, Rohingya, Moro, Pattani
dan banyak lagi bangsa lain dinafikan hak tanah mereka.
Bangsa-bangsa ini hilang tempat tinggal, hilang hak mereka untuk
berbicara dalam bahasa mereka dan menjalani kehidupan harian mereka
dalam budaya dan cara hidup mereka sendiri.
Mereka seringkali
berada dalam tekanan dan hidup dalam pelarian di tanah mereka sendiri.
Bangsa-bangsa yang tidak bernasib baik ini, selepas hidup dalam tekanan
pada satu tempoh masa mula meminta dan berjuang untuk mendapatkan
wilayah autonomi mereka sendiri sepertimana bangsa lain yang sudah
sekian lama menikmati kebebasan ini.
Bangsa-bangsa yang dinafikan
hak mereka ini selalunya mendiami kawasan yang jauh dari pembangunan
dan juga pendidikan, akses kepada maklumat dan berita semasa, menjadikan
mereka terbuka kepada eksploitasi golongan berkepentingan.
Sentimen perkauman dan dendam lama sering dimainkan. Modus operandi
seperti ini sudah sekian lama digunakan di tempat-tempat lain yang
mengalami situasi yang sama.
Di Turki, masyarakat Turki yang
ditindas sekian lama sejak zaman penubuhan republik dieksploitasi kuasa
antarabangsa seperti Israel, Amerika dan Rusia.
Ini jelas apabila
Amerika masih degil untuk menyenaraikan PKK (Partiya Karkerên
Kurdistanê/Parti Buruh Kurdistan) atau proksi mereka di Syria YPG
(Yekîneyên Parastina Gel/People Protection Party), PYD (Partiya Yekîtiya
Demokrat/Democrate Union Party) sebagai kumpulan pengganas, sungguhpun
mereka secara terang-terangan mengaku bahawa mereka bertanggungjawab ke
atas serangan-serangan letupan berani mati di Ankara dan Istanbul.
Kedegilan ini bertolak titik dari pendirian Amerika yang mahu
menjadikan YPG/PYD/PKK sebagai proksi mereka dalam mengekalkan kuasa
mereka dan mengekang pengaruh ISIS di rantau ini.
Campur tangan
Amerika jelas dilihat daripada isu Laut Hitam (Black Sea) yang masih
belum selesai. Sehingga saat ini, senjata-senjata api masih dibekalkan
oleh Amerika kepada puak pengganas ini , atas alasan agar “ melemahkan
dan mengalahkan ISIS” seperti dikatakan President Amerika Syarikat,
Barrack Obama.
(http://www.turkishpolicy.com/…/where-is-the-black-sea-regio…)
(http://www.turkishpolicy.com/…/how-isil-advanced-kurdish-na…)
Apa yang dialami oleh kepimpinan dan rakyat Turki pada saat ini adalah
serangan ke atas kedaulatannya, bukannya seperti revolusi yang berlaku
di Syria, Iraq, Libya ataupun Mesir.
Apa yang Turki perlukan pada
saat ini adalah sokongan dari masyarakat dunia dan persepakatan dari
masyarkat dunia dalam mengecam tindakan ini. Turki pada saat ini
dicemburui pelbagai pihak luar seperti Amerika, Iran, Israel, Russia
atas kejayaannya dalam pembangunan dan juga kemajuan yang dicapai Turki
akhir-akhir ini.
Turki, salah satu negara majoriti Islam yang
berjaya memimpin negara melalui pemilihan demokratik pada saat ini
diserang dari setiap sudut, ini dapat dilihat dari liputan media
antarabangsa yang bersifat berat sebelah dalam melaporkan berita
mengenai Turki dan juga suka mensensasikan berita-berita yang berlaku di
Turki agar orang ramai takut untuk melabur di dalam Turki mahupun
datang melancong ke Turki.
Apa yang dimahukan oleh kuasa-kuasa
luar terutamanya Amerika, Israel, Iran dan negara-negara lain yang
mencemburui Turki adalah untuk memusnahkan keamanan yang dikecapi Turki
yang kini mula membangun dari setiap sudut.
Sepertimana saranan
Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, seluruh umat Islam perlu bangun dan memberi
sokongan kepada kepimpinan Turki pada saat ini. Sungguhpun ia tidaklah
sempurna dan masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.
Pada
saat ini hanya Turki lah satu-satu Negara yang tegas dan bangkit dalam
menyuarakan isu-isu umat Islam yang ditindas di seluruh dunia seperti di
Somalia, masyarkat Rohingya, Palestin, Syria dan lain-lain.
Kami
menyeru anda semua untuk terus menyokong dan memberi sokongan tanpa
berbelah bahagi kepada masyarkat Islam di Turki. Jalinkan hubungan
dengan umat Islam di Turki dari apa jua suduh, ekonomi, pendidikan,
pelaburan, perniagaan dan juga ketenteraan. Turki memerlukan kita semua.
Said Imaddudeen Norhisam.
CEO Jejak Uthmaniyyah Tour & Consultancy.
18:26, Pazartekke, Fatih/ISTANBUL.