Dalam perbicaraan ilmu tasauf,
peringkat-peringkat nafsu seorang dan alamat-alamatnya dapatlah dibahagi
kepada tujuh darjat atau martabat, dan dalam peringkat-peringkat itu
terdapat ahli-ahlinya bagaimana berikut :
1. AHLI NAFSU AMMA-RAH
Tabiat hati ahli peringkat ini selalu terdedah kepada godaan hawa nafsu
dan syaitan. Oleh itu nafsu amma-rah sentiasa menyuruh seseorang
berbuat kejahatan sama ada ia faham perbuatan itu jahat atau tidak. Baik
jahat sama di sisi perasaan hatinya. Ia tidak merasa duka atau menyesal
di atas perbuatan jahat, malah kadang-kadang sebaliknya iaitu apabila
ia berbuat jahat maka terdapat perasaan lega dan gembira di kalbunya.
Sebagai contoh : Jika tertinggal sembahyang misalnya maka tidak
terdapat perasaan runsing atau kesal di atas peninggalan itu tetapi
kadang-kadang meninggalkan sembahyang itu lebih memberi rasa ria' dan
gembira untuknya. Dan kiaslah lagi contoh-contoh lain umpamanya jika ia
mencuri atau dapat memukul orang maka perasaannya lebih gembira dan
senang.
Firman Allah :
"Sesungguhnya nafsu (amma-rah) itu sangat menyuruh berbuat jahat"
وَمَآ أُبَرِّئُ نَفْسِىٓ ۚ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌۢ بِالسُّوٓءِ
إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّىٓ ۚ إِنَّ رَبِّى غَفُورٌ رَّحِيمٌ
"Dan
tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu
sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah
diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu
itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
[QS. Yusuf: Ayat 53]
Setengah daripada sifat-sifat garisan kasar yang timbul dari benih nafsu amma-rah yang cemar ini ialah :
- Bakhil
- Tamak
- Panjang angan-angan
- sombong Takabbur
- Ingin dan kasihkan kemegahan
- Ingin namanya terkenal dan masyhur
- Hasad Dengki
- Dendam kesumat
- khianat dan niat jahat
- Bertabiat lalai kepada Allah
- Dan lain-lain
Barangsiapa berasa meletup di hati atau merasa berdegup di kalbu dengan
salah satu daripada sifat-sifat tersebut maka itulah tandanya ia
termasuk dalam golongan amma-rah yang biadap itu : Kebanyakan orang awam
kita tidak terkecuali jahil atau berilmu adalah tak terlepas dari
golongan nafsu ini. Bahkan termasuk dalam golongan ini juga sekalipun ia
dari orang alim jika terdapat sifat-sifat seumpama itu, kerana dengan
semata-mata banyak ilmu tidaklah menukar orang itu menjadi orang sufi
yang bersih hati. Syurga tetap tidak terjamin untuk orang nafsu amma-rah
ini kerana ia adalah ibarat tembaga atau besi berkarat yang perlu
dibakar lebih dahulu sehingga suci bersih. Syurga tidak terima
barang-barang kotor kecuali apabila ia telah dibersih kerana syurga
tempat yang bersih.
Nafsu amma-rah ini adalah serendah-rendah
darjat dan sejahat-jahat nafsu dalam dunia perbicaraan tasauf. Oleh ituu
tempat yang wajar untuk golongan ini ialah kawah neraka sebagai tempat
penginapannya.
Jika mahu terkikis sifat-sifat berkarat dan kotor
yang timbul dari benih nafsu amma-rah itu hendaklah ia masuk ke dalam
golongan sufi serta mengikut cara peraturan orang sufi bagaimana ia
dapat meleburkan sifat-sifat durjana yang melekat di hati itu. Dan tidak
ada jalan yang lain daripada jalan ini jua kerana jalan ini sudah
dicubai dan diistiqra'i oleh orang-orang sufi.
2. AHLI NAFSU LAWWA-MAH
Nafsu lawwa-mah ialah nafsu yang selalu mengkritik diri sendiri atau
mencela diri sendiri apabila berlaku suatu kejahatan dosa di atas
dirinya. Nafsu ini lebih elok dan tinggi sedikit darjatnya daripada
nafsu amma-rah tadi kerana ia tidak puas hati di atas dirinya yang
melakukan kejahatan lalu ia mencela dan mencerca dirinya sendiri.
Sungguhpun darjat nafsu ini tinggi sedikit dari yang dahulu tapi
tabiatnya sekali sekala tidak terlepas juga dari jatuh ke dalam jurang
angkara dosa dan kejahatan, lalu ia cepat-cepat beristighfar kepada
Allah serta menyesal di atas kesalahan yang dilakukan itu. Dalam Quran
Tuhan Berfirman :
"Aku bersumpah dengan nafsu lawwa-mah (pencerca dan pengkritik diri)"
وَلَآ أُقْسِمُ بِالنَّفْسِ اللَّوَّامَةِ
Dan Aku bersumpah dengan "Nafsul Lawwaamah" (Bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)!
[QS. Al-Qiyamah: Ayat 2]
Sebagai contoh : Kalau ia tertinggal sembahyang misalnya terdapatlah
perasaan kecut hati kerana menyesal di atas ketinggalan sembahyang itu
lalu ia terus pergi qadha' cepat-cepat dengan tiada perasaan hendak
bertangguh-tangguh lagi dan bermohon ampun banyak-banyak kepada Allah
dengan perasaan yang sungguh-sungguh dan kiaslah lagi di atas
perbuatan-perbuatan yang seumpama itu.
Di antara sifat-sifat kasar yang timbul dari benih nafsu lawwa-mah itu ialah :
- Mencela kepada kesalahan diri sendiri
- Bertabiat berfikir (bertafakur)
- Terdapat perasaan kecut hati bila bersalah
- Terdapat perasaan mengkritik terhadap apa jua yang dikatakan kejahatan
- hairan kepada diri sendiri kerana disangka dirinya lebih baik (ajub)
- Membuat suatu kebajikan kerana hendak memperlihat kepada orang lain (ria')
- Memperdengar kepada orang suatu kebajikan yang dibuatnya supaya mendapat pujian orang suma'ah
- Dan lain-lain daripada sifat-sifat keaipan hati.
Barangsiapa berasa meletup di hati atau berasa berdegup di hati dengan
sifat-sifat umpama itu maka itulah tandanya ia termasuk dalam golongan
nafsu lawwa-mah.
Martabat nafsu lawwa-mah ini terletak pada
kebanyakan orang awam yang kelas istimewa dari martabat amma-rah tadi.
Kecuali dengan mendapat keampunan Tuhan dan rahmatNya kerana ia masih
tertinggal melekat dihati sisa-sisa sifat kotor yang perlu dikikis habis
iaitu seperti sifat-sifat ujub, ria', suma'ah, dan seumpama daripada
sifat-sifat keaipan hati. Ibarat perak bercampur tembaga, dan nilaiannya
tinggi dari tembaga berkarat tadi. Dan tak syak lagi bahawa sifat-sifat
keaipan hati itu tidak akan terkikis habis-habisan dari lubuk hati
melainkan dengan memakai penawar cara leburan orang-orang sufi jua.
Lain-lain jalan yang belum dijumpai lagi kerana orang-orang sufi telah
membuat cubaan demikian dan pada diri sendiri.
Firman Allah :
"Orang-orang yang bermujahadah pada jalan Kami akan Kami tunjukkan mereka jalan Kami"
وَالَّذِينَ جٰهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi
kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke
jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh
keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah
berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.
[QS. Al-'Ankabut: Ayat 69]
3. AHLI NAFSU MULHAMAH
Apabila sifat-sifat yang terkeji yang terdapat dalam nafsu amma-rah dan
lawwa-mah tadi berjaya dileburkan mengikut cara orang-orang sufi maka
bertukarlah darjat nafsu yang tak berbau syurga tadi beralih corak
menjadi nafsu mulhamah, nafsu mulhamah ini ialah nafsu yang sudah
menerima latihan beberapa proses kesucian dari sifat-sifat hati yang
cemar tadi melalui tareqat sufiah. Dan dari kerana kesucian hati itu,
terbuanglah lintasan-lintasan fikiran kotor atau khuatir-khuatir syaitan
dan mengambil alih di tempat itu oleh khuatir-khuatir dari malaikat
atau dari Allah yang mana kita namakan 'ilham'.
Firman Allah :
"Demi nafsu (manusia) dan yang menjadikannya (Allah) lalu diilhamkan
Allah kepadanya mana yang buruk dan mana yang baik, sesungguhnya dapat
kemenanganlah orang yang menyucinya (nafsu) dan rugilah (celakalah)
orang yang mengotorkannya (nafsu)"
وَنَفْسٍ وَمَا سَوّٰىهَا
Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);
[QS. Asy-Syams: Ayat 7]
فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوٰىهَا
Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; -
[QS. Asy-Syams: Ayat 8]
قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكّٰىهَا
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia
bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),
[QS. Asy-Syams: Ayat 9]
وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسّٰىهَا
Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia
bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran
maksiat).
[QS. Asy-Syams: Ayat 10]
Di antara sifat-sifat kasar yang timbul dari benih nafsu mulhamah yang baik itu ialah sifat-sifat terpuji bagaimana di bawah :
- Tak sayangkan harta sakhawah
- Berasa cukup dengan kurniaan harta yang ada (qana'ah)
- Berilmu laduni atau ilham
- Timbul perasaan merendah diri kepada Allah (Tawadhu')
- Taubat yang benar-benar (hakiki)
- Sabar yang hakiki
- Tahan menanggung kesusahan
- Dan lain-lain daripada sifat-sifat yang terpuji
Barangsiapa benar-benar teguh merasa dihatinya dengan sifat-sifat
tersebut maka itulah tandanya ia termasuk dalam golongan nafsu terpuji
itu (mulhamah). Kebanyakan orang-orang sufiah daripada orang awam yang
dahulu-dahulu adalah terdiri dari golongan ini. Mereka boleh dinilai
atau disifat dengan ahli syurga kerana mereka diibarat sebagai 'suasa'
yang tetap bertahan dan tidak boleh berkarat lagi.
Mereka dalam
martabat ini boleh dikatakan baru mulai masuk ke sempadan maqam wali
yakni mereka kerapkali baru mulai mencapai fana yang menghasilkan rasa
makrifat dan hakikat (syuhud) tetapi belum begitu teguh dan kejap kerana
mereka dalam martabat ini masih ada kemungkinan akan lenyapnya kembali
segala sifat terpuji bagaimana disebut tadi dan kemungkinan hilang
lenyap pula rasa makrifat dan hakikat dari hati.
4. AHLI NAFSU MUTMA-INNAH
Nafsu Mulhamah tadi sungguhpun bersih dan suci tetapi belum lagi ia
sampai kepada kejernihan yang teguh dan apabila nafsu itu teguh dan
tetap dalam proses memcapai makrifat dan hakikat dan melekat di hatinya
sifat-sifat yang terpuji jua dan tetap pula terkikis dari kalbunya
sifat-sifat yang tercela maka di waktu itu berhak ia mendapat gelaran
maqam nafsu mutma-innah namanya. Nafsu Mutma-innah adalah permulaan
mendapat darjat wali kecil.
Firman Allah Taala dalam Al-Quran :
"Wahai nafsu mutma-innah kembalilah kepada Tuhan engkau sambil berhati
suka-ria serta diredhai Tuhan maka masuklah olehmu dalam golongan
hamba-hambaKu yang solih dan masuklah syurgaKu"
يٰٓأَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ
(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan
akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal
soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa
yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -
[QS. Al-Fajr: Ayat 27]
ارْجِعِىٓ إِلٰى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً
"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan
segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -
[QS. Al-Fajr: Ayat 28]
فَادْخُلِى فِى عِبٰدِى
"Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia -
[QS. Al-Fajr: Ayat 29]
وَادْخُلِى جَنَّتِى
"Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! "
[QS. Al-Fajr: Ayat 30]
Sifat-sifat kerohanian yang timbul dari benih yang waja lagi comel
(nafsu mutma-innah) ini ialah bahawa dapat dirasa dalam hati sendiri
oleh orang-orang yang berjaya mencapai maqam nafsu yang bertuah itu,
akan sifat-sifat di antaranya ialah :
- Murah hati dan tak lekat wang di tangan kerana bersedekah
- Tawakkal yang benar
- Bersifat arif dan bijaksana
- Kuat beribadat
- syukur yang benar
- Redha pada segala hukuman Allah
- Taqwa yang benar
- Dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat hati yang waja lagi terpuji.
Biasanya orang mencapai martabat ini tetapi tidak termesti, akan zahir
padanya keramat-keramat yang luarbiasa, mendapat ilmu dengan tak payah
belajar (ilham) kerana ia dapat mengessan rahsia-rahsia Lohmahfuz.
Syurga untuk orang golongan ini terjamin kerana mereka ibarat emas tujuh
yang bermutu dan lebih mahal dari nilaian nafsu-nafsu yang lepas.
Inilah dia nafsu mutma-innah. Nafsu yang tetap bernilai dan terjamin
dengan syurga bagaimana diterangkan oleh Tuhan dalam Quran tadi iaitu
dialah yang wajar menerima jemputan Syurga Tuhan.
5. AHLI NAFSU RADHIAH
Tadi kita telah membicarakan nafsu mutma-innah yang memang sudah
bergelar wali. Ini pula nafsu radhiah iaitu nafsu yang memang wali
maqamnya tetapi ia lebih tinggi dari maqam wali mutma-innah tadi. Maqam
nafsu ini dinamakan radhiah kerana selain daripada ia berjaya mencapai
kejilahan dan kejernihan hati yang teguh itu maka nafsu ini terpocok
kejap di dalamnya dengan perasaan keredhaan pada segala hukuman Allah.
Bukan senang hendak mencapai maqam keredhaan nafsu ini kerana ia
bukanlah umpama sebarang benda yang boleh disumbatkkan ke dalam sarang
qalbu jika tidak ada sifat-sifat kelelakian yang benar-benar berhemah
tinggi dalam perjuangan mujahadah dan ibadat untuk mencapai maqam nafsu
mulia itu sebagaimana mengikut cara kaedah sufiah.
Oleh itu
tabiat orang maqam ini adalah luarbiasa, ia tidak takut pada bala Allah
dan tak tahu gembira pada nikmat Allah, yang ia tahu hanya keredaan
Allah dan hukumanNya. Bahkan gentar gembira atau bala nikmat adalah sama
jua di sisinya.
Malah segala masalah keduniaan sama saja di sisi
orang-orang wali martabat ini. Wang ringgit sama dengan daun kayu, emas
sama dengan tanah kering, segala kesusahan biasa mengenal hal-hal
kehidupan dunia bagaimana tak tahan dirasa oleh manusia awam jauh sekali
melekat di sarang hati mereka telah diisyaratkan oleh firman Allah :
"sesungguhnya orang-orang wali Allah itu tak pernah rasa ketakutan dan tak pernah rasa kerunsingan di atas mereka itu"
أَلَآ إِنَّ أَوْلِيَآءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari
sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita.
[QS. Yunus: Ayat 62]
Mengapa hati mereka sampai
begini sekali? Jawabnya ; kerana nafsu mereka sudah terkikis dari akar
umbi kesemua sekali karat-karat yang cemar dan pula sinaran nur syuhud
yang membau mereka kepada makrifat, datang bertalu-talu masuk ke dalam
hati nurani mereka yang tetap waja itu.
Alam di sekeliling mereka
laksana cermin yang boleh mereka nampak Allah di dalamnya setiap ketika
bagaimana mawam musyahadah terdapat dalam 'al-ihsan' pada umpama sabda
Nabi S.A.W.
Maqam ini digelarkan wali Allah dalam martabat orang
khawas. Dan mawam ini baru boleh diibarat emas bermutu lapan. Syurga
memang terjamin. Di antara sifat-sifat kerohanian yang timbul dari benih
radhiah yang berwaja dan tetap mahal nilaian ini ialah sifat-sifat yang
berikut :
- Zahid
- Ikhlas
- Warak
- tinggal perkara-perkara yang bukan kerjanya
- tunai dan tepatkan hukum-hukum Allah
- Dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat kerohanian yang tinggi-tinggi
Orang-orang wali maqam radhiah ini dapatlah ia mengecap nikmat
sifat-sifat budi yang luhur atau sifat-sifat kerohanian yang tinggi itu
dalam setiap ketika.
6. AHLI NAFSU MARDHIYYAH
Tak syak
lagi maqam mardhiyyah ini lebih tinggi dari maqam radhiah kerana nafsu
mereka dan segala hal atau segala apa-apa baik percakapan atau lakonan
yang keluar dari mereka adalah diredhai Allah dan diakui Allah. oleh itu
maka jadikan jiwa mereka, perasaan mereka, lintasan atau khuatir hati
mereka, gerak geri mereka, penglihatan mereka, pendengaran mereka,
percakapan mereka, pancaindera mereka, penumbuk tangan mereka, penendang
kaki mereka, peludah air liur mereka dan seterusnya kesemuanya adalah
diredhai Allah belaka.
Sabda Nabi S.A.W. dalam hadis Qudsi
"Sentiasalah hambaKu berdamping diri kepadaKu dengan mengerjakan ibadat
sunat hingga aku kasihkan dia maka apabila Aku kasihkan dia nescaya
adalah Aku pendengarannya yang ia mendengar dengan dia, penglihatannya
yang ia melihat dengan dia, pertuturan lidahnya yang ia bertutur dengan
dia, penampar tangannya yang ia menampar dengan dia, berjalan kakinya
yang ia berjalan dengan dia dan fikiran hatinya yang ia berfikir dengan
dia"
Maksudnya ialah segala perbuatan atau lakonan yang terbit
dari hamba Allah yang wali umpama ini adalah kesemuanya berlaku dengan
keredhaan Allah dan keizinan Allah belaka. Oleh itu maka timbullah dari
sisinya perkara-perkara ganjil ajaib dan luarbiasa pada pandangan orang
ramai umpama berjalan di atas air, terbang di udara, pergi ke Makkah
dalam sekelip mata dan lain-lainnya. Dan kerapkali setengah daripada
tingkah-lakunya terjadi sebagai tanda kenyataan Allah atau takdir Allah.
Ingatkah tuan cerita Nabi Isa A.S.? iaitu tatkala ia melawat sebuah
kubur orang mati dan ia berkata kepadanya serta diisyaratkan kepada
mayat dalam kubur itu yakni berdirilah engkau dengan izin Allah! Maka
mayat dalam kubur itu pun hidup dan bangun berdiri dan berjalan
hidup-hidup.
Cerita umpama itu juga berlaku pada Syeikh ahmad bin
Idris (Imam Tareqat Ahmadiah) iaitu pada suatu hari, datang kepadanya
seorang suami mengadu hal tentang kematian isterinya akibat ia
memukulnya dengan tiada kesedaran dan menyebabkan ia menyesal di atas
perbuatan itu, Sidi Syeikh pun jatuh rasa belas kasihan lalu ia pergi ke
tempat isteri yang mati itu dan ia berkata kepadanya 'Bangunlah engkau
dengan izin Allah' maka bangunlah mayat itu berjalan hidup-hidup.
Sebuah cerita lagi berlaku pada Syeikh abdul Qadir Al-Jailani iaitu
tatkala ia sudah selesai dari makan dan tertinggal di hadapannya
sisa-sisa tulang ayam, lalu ia menyeru kepada tulang-tulang ayam itu
dengan katanya : 'Hai Tulang...! jadilah engkau ayam kembali!'. Maka
terjadi tulang-tulang itu seekor ayam berlari hidup-hidup. Sedang ibu
seorang budak khadam Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani menyaksi perkara
ganjil itu dengan keadaan pelik.
Mengapa keganjilan demikian
berlaku? Jawabnya, ialah kerana pengucapan-pengucapan orang maqam
mardhiyyah umpama ini telah diredhai dan diizini oleh Allah S.W.T dan
satu perkara yang sayugia diingat bahawa di hadapan orang yang umpama
ini jangan-janganlah celupar mulut mengatakan sesuatu yang
menyinggungkan hatinya, takut-takut terkeluar dari mulutnya
pengucapan-pengucapan yang diredhai Allah maka jadi celakalah orang itu.
Berkata Imam Tariqat ahmadiah Sidi Syeikh Ahmad bin Idris Rahmatullah Taala yang masyhur keramatnya :
"Permulaan tareqatku ialah 'gila' diperkatakan orang.
Di pertengahan jalan, datang bermacam-macam ilmu pemberian Allah dengan tak payah belajar.
Dan di akhir Tariqatku ialah 'kun fayakun' (maksudnya datang bermacam-macam keramat jika dikehendaki."
Dengan huraian di atas terang dan fahamlah kepada kita maksud kata-kata
hadis qudsi yang mengandungi cerita-cerita keramat tadi.
Orang
mencapai maqam mardhiah ini digelar wali Allah dalam martabat Khawas
Al-Khawadh yakni wali Allah dalam martabat yang istimewa daripada
wali-wali yang tertentu. Ibarat emas bermutu sembilan, syurga tetap
terjamin.
Sifat-sifat budi atau kerohanian yang timbul dari benih waja mardhiah yang bertuah ini, diantaranya ialah :
- elok dan tingginya budi atau kesusilaan, umpama nabi-nabi
- Lemah lembut dalam pergaulan masyarakat ramai bagaimana perangan nabi-nabi
- Sentiasa rasa selera perdampingan dengan Allah
- Sentiasa berfikir pada kebesaran Allah
- Redha dan rela dengan apa-apa pemberian Allah
- Dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat budi kesusilaan yang terpuji
7. AHLI NAFSU KAMIL
Orang yang hendak mencapai nafsu kamil ini mestilah ia lalui dahulu
proses perjalanan nafsu-nafsu satu demi satu yakni dimulai dari nafsu
amma-rah, kemudian lawwa-mah, kemudian mulhamah, kemudian seterusnya.
Ini jika ia menurut jalan adab tarbiah cara teratur, berlainan orang
majdzub maka ia mungkin terlipat atau melangkah jalan dengan cara cepat
tetapi orang majdzub ini dibimbangi tidak akan mencapai kejayaan kerana
ia tidak ada istiqamah dalam perjalanannya. di sana ada jalan lebih baik
dan lebih teratur dari itu iaitu jalan adab tarbiah guru melalui suluk
campur jazbah. Inilah jalan terbaik sekali dalam dunia suluk dan
tarbiah, seperti yang terdapat pada tareqat ahmadiah, Naqsybandiah dan
lain-lain lagi.
Oleh itu orang yang hendak mencapai maqam nafsu
al-kamil ini bukan senang malah berhajatlah kepada semangat yang
benar-benar tinggi hemah dan berani menempuh jalan yang sukar-sukar dan
susah-susah. Syeikh Abdul Kadir al-Jailani umpamanya, selama tiga puluh
tahun lebih ia merempuh jalan umpama itu, lain orang lain pula
perjalanannya : ada masa yang singkat, ada yang lama.
Maqam nafsu
al-kamil ini adalah tertinggi dan teristimewa sekali dari maqam
wali-wali yang lain di atas muka bumi ini kerana ia dapat menghimpunkan
antara batin dengan zahir atau antara hakikat dengan syariat. Kerana itu
maka ia digelarkan maqam Baqa', kamil mukammil, Al-insan kamil, yakni
ruh atau hatinya kekal dengan Allah tetapi zahir tubuh kasarnya
bersama-sama dalam pergaulan orang-ramai, jadi pemimpin membentuk
masyarakat ke arah jalan yang diredhai Allah, seperti bagaimana yang
terdapat pada khalifah-khalifah khulafa Al-Rasyidin di dalam zamannya
atau sebagainya. Hati mereka umpama ini adalah kekal dengan Allah, sama
ada di masa tidur atau jaga kerana mereka dapat musyahadah dengan Allah
dalam setiap ketika. Dan maqam ini tidak dapat dinilai dengan apa-apa
benda kejadian di alam ini walaupun dengan harga emas sebesar dunia ini
kerana ia maqam khawas al-khawas. di ketika itu maka jadilah gerak geri
mereka, tutur kata mereka, tidur jaga mereka, makan minum mereka, dan
kelakuan mereka adalah ibadat semata-mata.
Rasul-rasul, Nabi-nabi
dan wali-wali besar adalah terdiri dari golongan maqam ini belaka,
tetapi pangkat Rasul lebih tinggi dari Nabi kerana Rasul maqam risalah
ibarat berlian dan maqam nubuwwah ibarat intan.
Sifat-sifat budi
utama yang timbul dari benih nafsu al-kamil yang teristimewa ini ialah
sifat-sifat kerohanian murni dan juga perangai-perangai terpuji
bagaimana yang terdapat dalam peringkat-peringkat nafsu yang baik
seperti kita telah huraikan dengan panjang lebar dahulu. Syurga untuk
mereka maqam al-kamil ini tetap teristimewa. Ibarat emas bemutu sepuluh.
KESIMPULAN KAEDAH SUFIAH
Dari penjelasan-penjelasan yang lepas dapatlah kita buat kesimpulan suatu kaedah begini :
* Tiap-tiap rasul adalah nabi
* Tiap-tiap nabi adalah wali
* dan tiap-tiap wali adalah orang sufi
Jadi, Rasul itu adalah orang sufi lagi wali lagi nabi.
Dan tidak boleh dikatakan nabi kalau tidak wali. Dan tidak boleh
dikatakan wali kalau tidak orang sufi. Dengan demikian maka rasul itu
mestilah orang sufi mengikut pengertian bahawa rasul itu adalah
benar-benar berhati kerohanian yang sufiah, dengan tidak dikira atau
diiktibar dari mana asal-usul datang perkataan sufi itu.
KESIMPULAN MAQAM-MAQAM NAFSU DAN PEMBALASANNYA MENGIKUT LOJIK SUFIAH
Dan dari penjelasan-penjelasan yang lepas juga dapatlah kita faham
bahawa golongan ahli surga terdiri dari orang-orang yang keimanannya
bermaqam-maqam dalam darjah nafsu dan makrifatnya. Oleh itu ahli syurga
adalah mengikut maqam-maqam beribarat seperti berikut :
1. Maqam berlian
2. Maqam intam
3. Maqam emas sepuluh
4. Mawam emas sembilan
5. Maqam emas lapan
6. Maqam emas tujuh
7. Maqam suasa
8. Maqam perak
Selain daripada golongan itu maka semuanya dinilai ahli neraka belaka
kecuali orang-orang yang mendapat rahmat besar dan keampunan dari Allah
Azzawajalla. Ya allah ya Tuhanku! Ampunkanlah kami dari golongan orang
awam yang banyak berdosa ini. Kalau tidak dengan rahmatMu maka celakalah
kami di akhirat nanti.
Adapun orang-orang kafir yang sudah
musnah keimanannya di dunia (negara nafsu) ini serupalah telur busuk
temelar yang tidak boleh hendak dibaiki kembali lagi. Hendak digadai tak
laku, jika hendak disedekah tak dipeduli orang bahkan dijerkah dan
dilaknatnya kembali. Maka tempat yang wajar untuk orang yang demikian
ialah dilontar sejauh-jauh ke dasar kawah neraka jahanam buat
selama-lamanya.
Begitulah hikmat Allah yang sangat rahsia. Allah
jadikan syurga berlapis-lapis, mengikut kadar darjah maqam-maqam nafsu
dan begitu juga sebaliknya Allah jadikan neraka.
Untuk kita
sekarang, ukurlah diri sendiri lebih dahulu. Kita berbuat apa sekarang?
Ke mana kita akan pergi? Adakah kita dari golongan orang yang akan
bernasib baik? Kalau tidak, maka akan buruklah padah di akhirat nanti.
Wallahua'lam.