nuff

Cari laman web

Google

LAMAN UTAMA

Malam Al Qadar

Sayangnya, kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat Al Qadar pada alam, pada pokok, air dan lain-lain yang berada di luar diri.

Sedangkan tanda mendapat Al Qadar itu ada pada diri sendiri.

Bukankah mereka yang bertemu dengan malam Al Qadar amat bertuah kerana doa, taubat dan hajatnya “diangkat” oleh para malaikat lalu dimakbulkan Allah?

Jadi, jika seseorang mendapat Al Qadar tentu jiwanya lebih tenang, akhlaknya menjadi lebih baik dan ibadahnya (sama ada habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat dan hebat.

Malam Al Qadar ialah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (umpama trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajar.

Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya di kalangan mereka – malaikat Jibrail.

Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.

Salah satu urusan ialah “bertamu dalam hati” orang Islam yang bersih hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya berpanjangan. Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah.

Bisikan para malaikat mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu.

Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari syaitan) dalam hati orang tersebut.

Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan “hati kecil” yang suci dan baik. Kedua, bisikan “hati besar” yang kotor dan jahat.

Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan. Antara ilham dan waswas.

Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh “penakluknya”.

Firman Allah:“Dan beruntunglah orang yang membersihkan dan merugilah orang yang mengotorinya.” (Surah al-Syams 91: 9-10)

Orang yang mendapat malam Al Qadar sungguh bertuah. Hasil mujahadah, doa, taubatnya pada malam berkenaan, malaikat terus bertamu dan mendominasi hatinya.

Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya.

Mujahadahnya akan terbantu.

Perjalanannya menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin.

Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan… maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan.

Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.

Itulah hati orang yang telah mendapat malam Al Qadar.

Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai oleh orang yang mengalaminya.

Rasa tenang, bahagia, lapang dan sejuk.

Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara… Ah, dia sudah berubah. Ah, indahnya perilakunya.

Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah.

Dan itulah tanda-tanda malam Al Qadar tahun itu yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada diri manusia makhluk yang sempurna.

Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada Al Qadar telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu.

Kita tidak akan menunggu tetapi kita akan memburu.

Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir.

Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, seolah-olah setiap malam adalah ‘malam Al Qadar’.

Al Qadar boleh datang, boleh pergi… tetapi Penciptanya sentiasa ada… sampai bila-bila. Semoga kita mati, setelah bertemu malam Al Qadar ini  atau dalam perjalanan menuju malam Al Qadar nanti…

Persediaan menemuinya bukan dibuat  semalaman, seharian, mingguan atau bulanan.

Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan untuk “menemuinya”. Mengapa?

Kerana perjuangan membersihkan hati adalah perjuangan sepanjang hayat.

Qalbun Salim (hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita!

Ya Allah, untuk mengatakan cinta, aku takut berdusta. Untuk mengatakan tidak, aku takut derhaka. Aku hanya insan hina, yang sedang jatuh bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah aku... kasihanilah aku Ya Allah.... 😭😭

@Dakwah_Itu_Cinta 🌹

Huzaifah al-Yaman ~ Pembanteras Munafiq ~

SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 14)

Beliau daripada keturunan Bani Abs daripada Mekah, tetapi menetap di Madinah. Bapanya, al-Yaman antara yang terawal memeluk Islam. Justeru itu Huzaifah juga menjadi antara pemuda terawal memeluk Islam di Madinah, lama sebelum baginda berhijrah ke sana lagi.

Oleh kerana belum pernah melihat Rasulullah, beliau sangat teringin untuk bertemu baginda. Setiap kali mendengar khabar Rasulullah dari bapanya yang berulang-alik antara Mekah dan Madinah, hatinya semakin rindu dengan batang tubuh manusia agung itu.

Dek kerinduan yang tidak tertahan, akhirnya pada suatu hari pergilah beliau ke Mekah bagi bertemu baginda. Alangkah gembiranya tatkala dapat berjumpa insan yang sangat dirindui itu. Antara soalan pertama yang ditanya:
"Ya Rasulullah. Aku ini orang Mekah. Tapi tinggal di Madinah. Apakah aku Muhajirin atau Ansar?"

Jawab baginda:
"Kamu pilihlah, mahu jadi muhajirin atau ansar."

Huzaifah membalas:
"Aku mahu jadi Ansar."

Tatkala Rasulullah berhijrah ke Madinah, beliau mendampingi Nabi sepanjang masa. Hasilnya Rasulullah SAW mendapati beliau dikurniakan 3 kelebihan iaitu kepintaran akal yang hebat sehingga mampu menyelesaikan masalah rumit, mudah faham dan pantas menyahut setiap arahan, serta pandai menyembunyikan rahsia.

Di era Madinah, umat Islam menghadapi suatu masalah besar iaitu ramai orang-orang munafiq di dalam saf umat Islam. Nabi memilih Huzaifah sebagai satu-satunya sahabat yang diberitahu semua nama-nama orang munafiq. Tujuannya supaya beliau mengawasi gerak geri munafiqin dan bertindak dengan sewajarnya bagi menghalang tipudaya mereka.

Beliau menyimpan rahsia ini sehingga mati. Acap kali dia ditanya oleh sahabat siapakah orang munafiq, tapi dia tidak pernah membocorkannya. Apabila berlaku kematian dikalangan sahabat, saidina Umar akan melihat adakah Huzaifah pergi solat jenazah atau tidak. Jika tidak, beliau juga tidak ikut solat kerana menganggap dia seorang munafiq.

Dalam perang Khandaq, Rasulullah menugaskan beliau untuk menjadi pengintip. Beliau berlakon menjadi tentera musuh dan masuk ke kawasan musuh secara senyap bagi mengambil maklumat yang dikehendaki Rasulullah sebelum memutuskan strategi seterusnya.

Ketika sampai dalam kawasan musuh, tiba-tiba pemimpinnya Abu Sufyan bangun berucap:
"Wahai kaumku. Ada satu perkara penting yang ingin aku katakan. Tetapi aku bimbang jikalau perkara ini diketahui Muhammad. Maka perhatikan setiap orang di sebelah kalian, pastikan tiada seorangpun yang mencurigakan."

Sebelum dirinya disedari, cepat-cepat Huzaifah memegang tangan seorang lelaki yang berada di sisinya lalu berkata:
"Siapa kamu?"

Lelaki itu berkata aku fulan bin fulan. Dengan cara itu, beliau selamat dari disoal siasat oleh orang lain.

Selain itu, beliau juga seorang panglima perang yang hebat. Ramai yang tidak mengetahui bahawa Kota Nahwand, Dainawar, Hamazan dan Rai yang sebelum ini dibawah pemerintahan Parsi berjaya dibebaskan olehnya. Saidina Umar sewaktu menjadi khalifah amat mempercayainya sehingga menyerahkan kuasa mutlak kepada beliau dalam membuat apa-apa keputusan ketika menjadi gabenor, berbeza dengan gabenor lain yang perlu mengikut arahan Saidina Umar.

Saidina Umar pernah bertanya Huzaifah:
"Apakah terdapat orang munafiq dikalangan kakitanganku?"

Huzaifah menjawab: "Ya. Ada seorang."

Saidina Umar bertanya siapakah dia, namun Huzaifah tidak memberitahu. Tidak lama selepas itu kata Huzaifah, orang tersebut telah dipecat oleh Saidina Umar, seolah-olah Allah memberi petunjuk kepada beliau.

Nabi pernah bersabda: "Setiap apa yang dikatakan oleh Huzaifah maka percayailah."

Walaupun beliau bijak dan hebat, tetapi hatinya amat takutkan Allah. Sebelum wafat beliau berpesan agar berpada-pada menggunakan kain untuk kafankan jasad beliau, dan mendermakan lebihannya kepada orang lain supaya tidak dipersoal di hari akhirat.

Kata beliau ketika sedang nazak:
"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha mengetahui aku lebih cintakan kemiskinan dari kekayaan, kehinaan dari kemuliaan, dan kematian dari kehidupan.."

Beberapa saat sebelum menghembus nafas terakhir, beliau sempat berkata:
"Kekasihmu sedang tiba penuh kerinduan.."

Huzaifah adalah watak penting dalam perjuangan awal Islam. Keberadaannya menjamin keselamatan gerakan Islam di era Nubuwwah. Beliau berperanan menyekat ancaman musuh dalam selimut. Beliau juga menjalankan tugas-tugas berprofil tinggi dalam mencari maklumat sulit yang tidak diketahui umum.

Dalam konteks gerakan Islam, watak Huzaifah mungkin tidak digemari sesetengah ahli yang tidak bermaklumat, kerana bersikap dingin terhadap saudara sendiri. Tetapi oleh kerana beliau memiliki maklumat dalaman bahawa orang tersebut sebenarnya satu ancaman, beliau tetap menjalankan peranannya demi Islam yang dikasihi.

Kisah Huzaifah mengajar bahawa sifat hazar perlu sentiasa ada pada sesebuah gerakan Islam. Semakin besar gerakan itu, semakin ramailah pengkhianat dan ejen musuh di dalamnya. Sehingga ke baginda SAW wafat, munafik masih wujud dalam saf Islam. Maka begitulah halnya mana-mana gerakan Islam, pasti tidak akan suci dari golongan tersebut selama-lamanya.

Allahumma, sesungguhnya ayat-ayat munafiq dalam al-Quran tidak pernah dimansuhkan!

14 Ramadhan 1438
9 Jun 2017

(Alang Ibn Sukrimun

HAMZAH BIN ABDUL MUTTALIB - Singa Allah Penghulu Syuhada

SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 13)

Sudah tentu ramai mengenali sosok tubuh ini. Beliau terkenal sebagai Asadullah bermakna singa Allah. Hal ini kerana kepahlawanan dan keberaniannya terhadap musuh, yang membuatkan umat Islam menumpang bangga dengannya. Beliau adalah antara pembesar Quraisy. Seorang yang gagah perkasa, berbadan sasa dan tidak takutkan sesiapa.

Walaupun Hamzah merupakan bapa saudara kepada Nabi SAW, umur mereka boleh dikatakan sebaya. Mereka membesar bersama dan menyusu dari ibu susuan yang sama. Nabi SAW amat kasih kepada teman sepermainannya itu sejak kecil lagi.

Walaubagaimanapun, Hamzah tidak menerima dakwah Nabi SAW daripada awal. Bukan kerana benci, tetapi tidak mahu mempedulikan hal-hal rumit sedemikian. Beliau lebih suka menghabiskan masa dengan minatnya memburu. Walaupun tahu apa yang berlaku, beliau langsung tidak mengendahkan seruan Nabi untuk beriman dan bersama Islam.

Sehinggalah pada suatu hari, ketika beliau pulang dari memburu, datang seorang lelaki mengadu tentang apa yang telah dilakukan oleh Abu Jahal terhadap anak saudaranya Muhammad SAW. Hamzah bertanya adakah ada lagi orang lain melakukan perkara sama? Jawab lelaki itu, ya, bahkan ramai.

Hamzah menjadi marah tiba-tiba. Beliau terus meluru ke Safa, tempat biasa Abu Jahal berkumpul bersama konco-konconya. Tanpa apa-apa mukaddimah, beliau terus menerpa ke arah Abu Jahal dan menghentak kepala Abu Jahal dengan busur yang ada di tangannya, menyebabkan kepala Abu Jahal koyak dan berdarah.

Hamzah kemudian melaungkan:
“Hari ini aku umumkan bahawa aku telah memeluk Islam! Kalau ada sesiapa berani membuat aku kembali berpaling dari Islam, cubalah!”

Namun tiada siapapun yang berani menyentuh Hamzah.

Dalam masa yang pantas, tersebarlah berita keislaman Hamzah ke seluruh kota Mekah. Ia menjadi tamparan hebat dan malapetaka besar buat orang musyrikin. Adapun bagi orang Islam, ia adalah satu rahmat yang cukup besar. Bagi mereka, tiadalah hari-hari yang lebih menggembirakan ketika di Mekah melainkan dua hari; hari Islamnya Umar al-Khattab dan hari Islamnya Hamzah bin Abdul Muttalib.

Kedua mereka juga begitu teruja selepas memeluk Islam. Pernah mereka menyuarakan hasrat kepada Rasulullah SAW untuk keluar ke hadapan Kaabah secara terang-terangan bersama Rasulullah, dan solat di hadapan Baitullah disaksikan oleh semua penduduk Mekah.

Nabi SAW bersetuju lalu keluarlah mereka bertiga ke Baitullah. Baginda berjalan penuh haibah bersama dua orang pengawalnya. Seorang di hadapan baginda dan seorang di belakang.

Sampai di hadapan Kaabah, mereka menunaikan solat Zohor dengan tenang tanpa diganggu sesiapa. Setelah selesai mereka berjalan pulang ke rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Mata para musyrikin memerhatikan setiap tindak-tanduk mereka, dengan hati yang panas membara dan penuh dendam, tetapi tidak berani berbuat apa-apa.

Tidak lama selepas itu, Allah memerintahkan umat Islam berhijrah ke Madinah. Kesemua orang Islam berhijrah dalam keadaan sembunyi dan berkumpulan, kerana bimbang ancaman musyrikin. Tetapi ada tiga orang sengaja berhijrah secara terangan, bagai mencabar keberanian musyrikin. Mereka adalah Umar, Hamzah dan Zubair bin Awwam. Sekali lagi musyrikin hanya berani melihat tanpa bertindak apa-apa.

Ketika perang Badar, Hamzah antara pahlawan terulung yang sangat digeruni musyrikin Quraisy. Beliau sengaja meletakkan tanda merah di dadanya, supaya dikenali oleh semua musuh. Ramai cuba membunuhnya, tetapi semuanya menemui ajal di hujung mata pedang Hamzah.

Dalam Perang Uhud, kepahlawanan Hamzah juga mengujakan. Ketika umat Islam dalam keadaan kelam kabut setelah diserang hendap dari belakang, Hamzah bersuara lantang:
“Aku singa Allah dan singa Rasulullah. Aku berlepas diri apa yang dilakukan oleh musyrikin. Dan aku memohon ampun dari apa yang dilakukan oleh orang Islam (berpecah dari Nabi.)”

Beliau kemudian meluru ke arah musuh, menghayunkan pedang kiri dan kanan, terus maju tanpa mundur, dan akhirnya rebah menemui syahid diserang hendap oleh seorang bernama Wahsyi.

Kali ini giliran musyrikin bergembira dengan kematian orang yang paling mereka benci. Jasad para syuhada dipotong-potong, dibelah perut dan diperlakukan dengan begitu dahsyat, terutama jasad Hamzah bin Abdul Muttalib. Hindun membelah dada Hamzah dan meratah hatinya, tetapi tidak mampu ditelan.

Umat Islam terutama Rasulullah SAW pula tersangatlah sedih. Sehingga baginda SAW bersumpah akan melakukan perkara sama terhadap 70 orang musyrikin di masa akan datang. Walaubagaimanapun pantas turun wahyu Allah berfirman:
إِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِ ۖ وَلَئِن صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِّلصَّابِرِينَ
Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.
[al-Nahl:126]

Rasulullah menarik balik sumpahnya dengan kaffarah. Kemudian baginda memerintahkan jasad-jasad umat Islam dikumpul dan dikebumikan sekaligus. Yang paling banyak menghafal al-Quran diletakkan paling hadapan. Selesai mengebumikan semuanya, baginda bersabda:

“Aku menjadi saksi kepada semua mereka, bahawa tidak ada satu luka pun yang terjadi di jalan Allah, melainkan luka itu akan terus berdarah di hari mereka dibangkitkan. Warnanya masih warna darah, tetapi baunya berbau kasturi.”

Perjuangan Islam memerlukan watak anggotanya yang pelbagai supaya melengkapi antara satu sama lain. Perlu ada orang yang mewarisi kepahlawanan dan keberanian singa Allah seperti Hamzah di setiap zaman. Orang seperti beliau menjadi pembakar semangat untuk umat Islam turut merasa izzah dalam apa jua keadaan, tidak takutkan sesiapa kecuali Allah.

15 Ramadhan 1437
10 Jun 2017

(Alang Ibn Sukrimun)

JULAIBIB Bulan Madu di Syurga

SAHABAT DI SISI RASULULLAH (SIRI 12)

Julaibib merupakan seorang Ansar. Ketika Nabi sampai ke Madinah, beliau masih kanak-kanak yang belum sampai umur baligh. Akan tetapi hatinya telah terpaut dengan Islam dan diri Rasulullah SAW sejak kali pertama baginda sampai ke Madinah lagi. Beliau meninggalkan segala keseronokan alam kanak-kanak bersama rakan sebaya, kerana hatinya telah dipenuhi kecintaan terhadap baginda SAW.

Julaibib hidup sebatang kara. Beliau tak punya keluarga atau harta. Tempat tinggal beliau adalah masjid Rasulullah. Beliau adalah ahli suffah. Makan dan minum hanya sedikit, hasil pemberian orang kepadanya.

Julaibib adalah budak yang disenangi semua orang. Gelagatnya menghiburkan dan keberadaannya menyenangkan. Dia bebas keluar masuk rumah sesiapa sahaja di Madinah. Tiada yang menutup pintu kepada beliau. Para wanita juga tidak merasa segan, kerana Julaibib masih budak.

Apabila Julaibib meningkat remaja dan akil baligh, suatu hari Rasulullah bertanya kepadanya.
"Inginkah kamu untuk berkahwin wahai Julaibib?"

Beliau menjawab:
"Siapalah yang mahukan aku. Aku budak miskin, tak mampu beri nafkah dan apa-apa mahar."

Baginda menjawab:
"Aku akan carikan kamu perempuan solehah. Dan Allah akan mencukupkan rezeki kamu berdua."

Beberapa tempoh selepas itu, Rasulullah SAW bertemu seorang lelaki Ansar lalu berkata:
"Kahwiniku akan anakmu si fulanah."

Lelaki itu dengan gembira berkata:
"Ya wahai Rasulullah. Ya. Semoga Allah menambah kemuliaanmu dengan hubungan ini."

"Bukan aku inginkan anakmu untuk diriku". Balas Rasullah SAW

Tersenyap lelaki itu.

"Lalu untuk siapa?" Soal lelaki itu kebuntuan.

"Untuk Julaibib." Jawab baginda ringkas.

Tatkala itu terus hilang kegembiraan di wajah lelaki tersebut. Beliau berkata:
"Nanti dulu wahai Rasulullah. Aku mahu berbincang dengan ibunya dahulu. Aku tak mahu buat keputusan besar ini tanpa bertanya padanya."

Lalu lelaki itu pulang dalam hati yang gundah gulana. Dia tahu isterinya pasti tak mahu bermenantukan orang seperti Julaibib. Dalam waktu yang sama beliau tidak tergamak mahu menolak lamaran Rasulullah.

Sampai di rumah, beliau menyampaikan hasrat Rasulullah. Seperti dijangka, isterinya menolak keras. Berlaku pertikaman lidah yang agak hebat sehingga keduanya meninggikan suaranya.

Akhirnya si suami mengalah. Beliau tidak mampu memujuk isterinya. Si isteri tetap berkeras tidak mahu bermenantukan Julaibib.

Dalam keadaan hampa, lelaki itu bersiap untuk menuju Rasulullah SAW. Sebelum berangkat keluar, anak gadisnya yang mendengar pertengkaran kedua ibubapanya keluar dari bilik dan bertanya:
"Siapakah sebenarnya yang meminangi diriku?"

Si Ibu pantas menjawab:
"Rasulullah pinang kamu untuk Julaibib. Tapi aku tolak pinangan itu."

Gadis solehah itu terus bersuara:
"Kenapa begitu? Sampai hati ibu. Sanggup menolak permintaan Rasulullah. Demi Allah. Aku tak akan sekali-kali sanggup menolak sebarang permintaan Rasulullah.

Penuhilah permintaan baginda. Sesungguhnya Nabi lebih utama menentukan urusan orang beriman dari diri mereka sendiri.

Berikan aku pada Julaibib. Percayalah bahawa Allah tak akan sekali-kali sia-siakan nasibku."

Si ibu senyap tidak terkata. Si bapa terus menuju Rasulullah dan menyampai khabar gembira itu. Baginda SAW turut bergembira dengan berita tersebut lalu berdoa:
"Ya Allah. Limpahkanlah kebaikan untuk si gadis itu. Jangan kau susahkan hidupnya."

Maka termeterailah ikatan kasih kedua mereka. Julaibib dan isteri selamat diijab kabulkan. Cinta dari dua insan yang saling tidak mengenali, tetapi disatukan oleh sebaik-baik manusia.

Belum sempat Julaibib menikmati hari-hari bahagia bersama, tiba seruan jihad dari Rasulullah kepada umat Islam, untuk bersama keluar berperang di jalan Allah. Julaibib meninggalkan tempoh bulan madunya, menyarungkan baju perang dan menyahut seruan baginda SAW.

Ditakdirkan Allah, umat Islam memenangi peperangan tersebut. Rasulullah SAW mengumpul tenteranya sebelum pulang dan dipastikan agar tidak ada yang tertinggal. Setelah semua sahabat dikumpulkan, baginda bersabda:
"Ada sesiapa lagi yang masih belum jumpa?"

Para sahabat menjawab: "Dah tiada wahai Rasulullah."

Nabi berkata:
"Tapi aku masih tidak jumpa di mana Julaibib. Tolong carikan beliau."

Maka sahabat kembali ke medan perang dan mencari di setiap sudut tanah, di manakah perginya Julaibib.

Akhirnya di kawasan tentera musuh, mereka menjumpai satu jasad menyerupai Julaibib. Terbujur kaku berlumuran darah di sisi tujuh bangkai musuh.

Para sahabat segera menyampaikan berita itu kepada Rasulullah. Rasulullah bergegas ke depan jenazah Julaibib lalu berkata:
"Tujuh orang ini telah dibunuh oleh Julaibib. Dan mereka juga membunuhnya. Julaibib sebahagian daripada diriku, dan aku sebahagian daripadanya. Julaibib sebahagian daripada diriku, dan aku sebahagian daripadanya."

Rasulullah memerintahkan para sahabat menggali kubur di kawasan itu. Baginda sendiri yang mendukung jasad Julaibib, menurunkannya ke kubur, membaringkannya di lahad, dan menimbus sang syahid itu dengan tanah.

Sungguhpun Julaibib baru sahaja merasai kehangatan cinta bersama isteri yang baru dikenali, semua itu tak menghalang dirinya dari melupakan tanggungjawab sebagai hamba Ilahi. Kasih Julaibib kepada makhluk tidak sekuat kasihnya kepada Allah dan Rasul. Kedua pemuda syurga dan gadis solehah itu wajib dijadikan contoh buat semua yang sedang kemaruk berkasih. Jangan tenggelam dalam lamunan cinta, sehingga terabai tanggungjawab untuk agama.

Usah sedih dengan nasib Julaibib. Beliau kini sedang bahagia bersama bidadari syurga. Sudah tentu isterinya sendiri menjadi ketua para bidadari. Mereka mungkin tak sempat menghabiskan bulan madu. Tetapi tuhan mengganjarkan pakej berbulan muda di syurga, selama-lamanya. Apakah ada yang lebih indah dari itu?

Usah risau dengan nasib balu Julaibib. Beliau telah menjadi buruan ribuan jejaka beriman. Doa Rasulullah terhadap wanita itu menjadikan dirinya amat berharga di mata setiap yang mencari keberkatan hidup.

Tapi risaulah dengan nasib kita. Apakah perhubungan kita diredhai Allah? Apakah ia direstui Rasulullah? Apakah bahagia ini akan kekal hingga ke syurga?

14 Ramadhan 1438
9 Jun 2017

(Alang Ibn Sukrimun)

PETUA MENYEMBELIH BINATANG

(Baca sampai habis, jangan ambil ilmu sekerat-sekerat)

1. Supaya daging tidak berlemak:
a) Ada wudhuk ketika sembelih binatang.
b) Mata pisau disapu terlebih dahulu dengan minyak yang ada dibahagian hidung kita.
c) Hulu pisau dibungkus dengan kertas atau sebagainya.
d) Mata pisau dikilir atau digerakkan dengan belakang tapak tangan.
2. Supaya daging binatang menjadi lembut;
a. Mata pisau diletak dekat butir halkum binatang
b. Kedudukan seluruh badan kita jangan berbetulan dengan mata pisau
c. Tahan nafas sewaktu hendak sembelih dan semasa sembelih maka nafas dilepas secara perlahan-lahan.
3. Bacaan ketika mahu sembelih binatang supaya daging tidak berbau busuk;
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الحَمْدُاللّهُمَّ هَذَا هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ فَتَقَبَّلْ مِنَّا كَمَا تَقَبَّلْتَهُ مِنْ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيْمَ خَلِيْلِكَ وَمِنْ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبِيْدِكَ وَرَسُوْلِكَ اللّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ رِضَاكَ وَالجَنَّة
َ
4. Selesai sembelih binatang maka sapukan hujung mata pisau kepada pipi binatang tadi supaya lalat tidak datang menghurungi daging.
5. Supaya mencukup atau memadai daging bagi setiap jamuan;
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ ِلإِيْلاَفِ قُرَيْشٍ إِيلاَفِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ
Hembus dan sapu kepada badan binatang bermula bahu hingga punggungnya.
6. Jangan basuh tangan dan mata pisau sehingga binatang sembelihan benar-benar telah mati.
- Sebaiknya tukang sembelih tidak menjadi tukang yang memandikan mayat kerana biasanya boleh membawa kepada daging menjadi keras.

Jangan lupa pula adab2 dan syarat2 penyembelihan yang telah ditetapkan oleh syarak..

Wallahu a'lam...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...