nuff

Cari laman web

Google

LAMAN UTAMA

Persidangan dan Ijtima' Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke 3 Mac ini


Saya mengajak pemimpin-pemimpin Gerakan Islam diseluruh dunia dan para Ulama untuk menyertai Persidangan Antarabangsa dan Ijtima’ Antarabangsa yang kita anjurkan bagi menyatukan umat dengan menonjolkan isu selamatkan Baitul Maqdis.kerana kita melihat kebangkitan Islam yang berlaku kini mengahdapi cabaran luar dan cabaran dalaman.
Cabaran luar ialah musuh yang tidak akan memberi peluang sekali-kali kepada umat Islam untuk bangkit semula akan melakukan apa jua untuk menghalang kemajuan umat Islam dan kemunculan mereka sebagai pemerintah dan kuasa yang kuat.
Adapun cabaran dalaman ialah wujudnya dua faktor dalam diri umat sendiri yang pertama disebut dengan tasyahul dan kedua tasyaddud.
Tasyahul ini ialah sikap bermudah-mudah terhadap ajaran Islam. Kebangkitan Islam sekadar mengaku sebagai orang islam tanpa menghayati ajarannya tanpa melaksanakan hukum syariat, yang tidak memberi apa-apa kesan dan faedah untuk merubah umat khususnya kalangan yang meringan-ringankan perintah agama dan tidak mengambil kira dalaman agama.
Golongan Tasyaddud ialah golongan melampau yang terlalu bersemangat untuk melaksanakan syariat hingga menimbulkan pertembungan dalaman umat sendiri yang membawa peperangan seperti berlaku sekarang ini di mana umat Islam berperang sesama sendiri, menjadi proksi kepada pihak asing dengan menggunakan senjata kuasa besar, duit orang Islam dan tenaga orang Islam dengan membunuh orang Islam dengan mengenepikan isu palestin khususnya isu membebaskan baitul maqdis. Maka kita mengajak pemimpin-pemimpi gerakan Islam dan ulama yang terlibat dalam menyedarkan umat supaya hadir ke muktamar untuk mendengar pandangan dan membuat perbincangan bagi menghasilkan resolusi yang meberi manfaat kepada kita untuk khidmat kepada umat dan agama kita.
Kesempatan ini juga saya menyeru kepada seluruh rakyat malaysia untuk menyertai Himpunan Antarabangsa di Rusila Terengganu, Malaysia pada 20 – 22 Mac 2015, bagi menghimpunkan pimpinan gerakan islam politik dan para ulama ke arah menyatukan umat dan memperkenalkan Islam kepada seluruh alam dalam suasana dunia menghadapi masalah sangat kritikal masalah politik, masalah sosial namun ramai yang melupai islam adalah wadah yang boleh menyelamatkan mereka.
Islam bukan satu religion sebagaimana difahami orang barat.
Islam adalah satu ajaran yang menyeluruh merangkumi segala aspek kehidupan manusia bagi menyelesaikan masalah mereka dengan petunjuk daripada Allah SWT, insyaallah kita menampilkan pimpimpin gerakan islam dan ulama yang datang dari seluruh pelusuk dunia, dari asia barat, dari asia tenggara asean rantau kita sendiri, dari benua india, termasuk dari eropah dan asia tengah tengah.
Kita cuba berusaha menjemput pimpinan dari black muslim amerika dan pimpinan Islam dari Kanada agar datang menyertai himpunan ini untuk kita mendengar pandangan-pandangan mereka yang dibentangkan dan insyaAllah menambahkan pemikiran kita dengan cara yang subur dan baik.

Hudud Kelantan dilulus sebulat suara

KOTA BAHRU: Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud hari ini diluluskan sebulat suara pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) Kelantan.
Rang undang-undang itu dipersetujui semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk 12 ADUN Barisan Nasional (BN).
Keputusan itu sekali gus menjadikan 37 pindaan daripada 71 fasal dengan empat pindaan utama itu terpakai.
Terdahulu, seramai empat ADUN membahaskan rang undang-undang berkenaan iaitu ADUN Tawang, Hassan Mahmood, ADUN Kok Lanas, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad, ADUN Melor, Dr Yusnan Yusof dan ADUN Salor, Datuk Husam Musa.
MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membentangkan pindaan Enakmen Kanun Syariah Jenayah II 1993 (2015) ketika dalam Persidangan Dewan Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ketiga Belas Tahun 2015 di Kota Darulnaim

Hudud

Hukuman hudud ( حدود ) adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah S.W.T di dalamAl-Quran dan Hadis. Hukuman hudud ini adalah hak Allah S.W.T yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini. Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T dan RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim.

Dalil al-Quran

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Baqarah, ayat 229).

Kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud
  1. Berzina - iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah mengikut hukum syara'.
  2. Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya dan tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.
  3. Minum arak - minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau banyak, mabuk ataupun tidak.
  4. Mencuri - iaitu memindahkan secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.
  5. Murtad - iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan i`tiqad kepercayaan.
  6. Merompak (hirabah), iaitu keluar seorang atau sekumpulan yang bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan dengan cara kekerasan.
  7. Penderhaka (bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada pemerintah (Daulah Islamiyah) yang menjalankan syariat Islam dan hukum-hukum Islam.

Rujukan

  1. Jabatan Mufti Negeri Melaka

a) Hukum melaksanakan hudud dan qisas atau syari’at ialah wajib. Dalilnya banyak: antaranya,” dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dgn apa yg diturunkan Allah dan janganlah kamu menurut kehendak hawa nafsu mereka” AQ 5:49 

b) siapakah yg bertanggungjawab melaksanakannya?
Yang pertama dan utama ialah Penguasa kerana kuasa yg mereka miliki. Kedua ialah rakyat yg beriman melaksanakan syari’at dalam bentuk yg tidak memerlukan penguatkuasaan spt syari’at dalam rumahtangganya. (Dr Qardhawi, Malameh alMujma’ alMuslim allazi nansyuduhuu, ms 287-288)

J2. kategori dosanya ialah kafir (AQ 5: 44), zalim (AQ 5:45), fasiq (AQ 5: 49)

J3: Oleh kerana hudud dan qisas melibatkan kuasa politik, maka sudah tentu dosa dipikul oleh yg berkuasa. Juga terhadap rakyat yg mengangkat kuasa politik tersebut. Dalil: “hai orang2 beriman, hendaklah kamu menjadi orang yg selalu menegakkan keadilan.” AQ5:8

J4: Allah mengatakan suatu perbuatan yg tidak patut, penderhaka dan orang yg sesat, dalilnya AQ: 33:36 

J5. Meninggalkan hudud menjadikan kerajaan itu kafir, zalim dan fasiq (AQ 5: 44,45 &49); manakala meninggalkan solat dgn sengaja menjadikan seseorang itu kafir (Muslim,alIman/82, Termidzi, alIman/2622) dari Jabir ra,”pemisah antara seseorang dgn kekafiran ialah meninggalkan solat.”

Rezeki Itu Hak Allah



Sebuah basikal tua,
Dinaiki seorang lelaki berusia,
Dengan senyuman terukir di bibirnya,
Membuatkan diri ini memikirkan betapa mulianya dia...
Dalam zaman serba moden ini masih adakah insan yang menggunakan basikal bagi mencari sesuap nasi? Susah nak percaya kan. Tapi percayalah masih ada insan yang menggunakan basikal tua untuk mencari rezeki yang halal.
Pernah suatu ketika semasa saya menunggu bas untuk pulang ke kampus, saya ternampak seorang lelaki berseluar pendek, memakai t-shirt dan bertopi (mungkin mahu melindungi wajah dari terik matahari), memberhentikan basikal tuanya berhampiran dengan perhentian bas. Saya kira dia berbangsa India dari segi pakaian dan warna kulitnya. Di bahagian belakang basikalnya kelihatan terselit kotak-kotak kosong yang sudah dilipat-lipat bagi menjimatkan ruang. Beliau kelihatan tersenyum dengan pekerjaannya itu. Membelek dari satu tong sampah ke satu tong sampah yang lain. Mungkin pada pandangan orang lain kotor tapi itulah pekerjaan yang halal dan tidak meminta-minta pada orang lain. InsyaAllah, Allah memberikan rezeki yang halal kepada mereka yang rajin berusaha. Tapi ingat, matlamat tidak menghalalkan cara.
" Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya ".
( Surah ar-Rad : 11 )
Saya juga pernah melihat seorang makcik yang berbangsa cina semasa zaman persekolahan dahulu. Bertahun-tahun dia mengayuh basikal mininya mencari tin-tin kosong dan kotak-kotak yang tidak digunakan lagi. Selama beberapa tahun saya perasan dan memerhatikan makcik ini yang setia dengan pekerjaannya dengan skirt dan t-shirt lusuhnya. Malahan semasa saya pulang ke kampung baru-baru ini juga saya seakan masih ternampak makcik cina tersebut atau mungkin juga saya silap orang. Setiap hari basikalnya penuh dengan muatan, tak pasti pulak dari mana dia mencari semua bahan terbuang tu. Tapi semangat kentalnya yang tak pernah mengena erti penat membuatkan saya kagum.
Jangan kita ingat bila kita dah tak perlukan sesuatu tu, orang lain juga turut tidak memerlukannya? Jangan berfikiran cetek kerana barangkali kamu tidak suka tapi orang lain suka kerana kejadian Allah ni unik. Teringat pulak kisah dengan adik sewaktu nak beli kain baju kurung. Orang cakap kain A cantik, dia cakap tak cantik. Yang orang tengok tak cantik tulah dia kata cantik. Padahal kami sekeluarga tak berkenan dengan pilihan dia tu. Tapi mata dia kata cantik nak buat macam mana kan. Lagipun dia yang nak pakai. Jadi biarlah dia dengan pilihan hatinya. Tiada manusia yang sama antara satu sama lain. Sedangkan cap jari tidak ada yang pernah sama. Itulah ciptaan yang Maha Agung. Belum bersyukurkah kita???
Saya juga pernah beberapa kali semasa makan, ada dua orang (kadang-kadang lelaki berpasangan dan kadang-kala perempuan berpasangan, yang seorang normal dan sorang lagi tidak boleh melihat dalam erti kata lain buta) bergerak dari satu meja ke meja lain untuk menjual tisu. Kiranya membeli sambil bersedekahlah kan. Kadang-kadang bila ada pelanggan yang menolak, mereka tidak pernah berputus asa untuk bergerak ke meja lain dan tidak ada istilah malu dalam diri mereka. Kadang-kadang saya beli juga walaupun saya jarang guna tisu sebenarnya, sebab saya lebih selesa guna sapu tangan Tisu tu buat spare je, selalu saja ada member tanya "ada tisu tak". Kalau pada masa tu saya ada tisu maknanya saya tidaklah menghampakan orang yang meminta. Betul tak?!
Kadang-kadang kita dengan mudah menghukum golongan sedemikian. Dikatakan menumpang kesenangan orang lain dengan hanya tahu meminta-minta. Tapi kita kena ingat kerana rezeki kurnian Allah itu bukan hak mutlak kita. Ia perlu dikongsi kerana dalam rezeki kita ada nisbah orang lain.
REZEKI adalah sesuatu yang telah dijamin oleh Allah kepada seorang hambanya. Rezeki yang kita dapat tu bukan hak mutlak kita seorang, ada hak orang lain di dalamnya. Allah telah menampakkan anugerah kepada hambaNYA dengan menempatkan harta berfungsi sebagai IBADAH. Sebab tu ZAKAT wajib dibayar. Supaya rezeki yang diberikan berfaedah bagi si pemilik dan bermanfaat pula bagi sesama hamba Allah. Dan sekiranya harta itu tidak memberikan manfaat bagi agama, sesama hamba, dalam hubungannya dengan keagungan nama ALLAH swt maka ALLAH berhak menarik semula rezeki itu kerana ALLAH swt adalah pemilik yang sah bagi semua harta yang ada di dunia mahupun akhirat.
Sebab tu dalam Islam digalakkan bersedekah. Jangan pentingkan diri sehingga kita terlupa, nyawa kita juga hanya pinjaman oleh Yang Maha Esa. Entah esok lusa, jika DIA mahu mengambil balik apa yang dipinjamkan kepada kita, siapa kita untuk menafikan yang bukan hak kita. Cuba letakkan diri kita pada tempat mereka? Cuba selami hati dan perasaan mereka? Bukan mereka mahu jadi begitu, barangkali keadaan memaksa walaupun mungkin ada alternatif lain yang boleh difikirkan oleh kita tapi tidak oleh mereka.
Kita semakin matang setiap hari kerana usia semakin meningkat, jadi belajarlah untuk menerima pendapat dan keinginan orang lain. Biarkan mereka melakukan sesuatu yang mereka suka walaupun kita kurang selesa dengan hal tersebut selagi ia tidak melanggar batasan syarak. Jika sudah melanggar batasan syarak maka wajiblah kita untuk menegur. Bukan niat hanya menegur dirinya tapi niat menegur diri kita sendiri supaya kita sentiasa ditingkatkan iman dan taqwa.
Artikel ini dari -

Syaaban : Bulan Penuh Kemuliaan

Bulan Syaaban adalah bulan mulia iaitu bulan yang terletak di antara bulan Rejab padanya Nabi Muhammad s.a.w. melakukan Isra` dan Mikraj dan bulan Ramadhan di mana padanya seluruh umat Islam diwajibkan mengerjakan puasa Ramadhan dan Lailatul Qadar. Sesungguhnya orang yang mensucikan badannya pada bulan Rejab maka ia akan mensucikan hatinya pada bulan Syaaban dan orang yang mensucikan hatinya pada bulan Syaaban akan mensucikan rohnya pada bulan Ramadhan.
Sesungguhnya bulan Rejab untuk memohon keampunan dari segala dosa dan bulan Syaaban pula untuk memperbaiki hati dari segala cacat dan bulan Ramadhan pula untuk memberi penerangan hati sedang malam Lailatul Qadar adalah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.


Pertukaran arah kiblat
Peristiwa yang paling bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban ialah peristiwa pertukaran kiblat. Allah s.w.t telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis ke Kaabah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat al-Bara` bin Azib maksudnya: "Selepas Rasulullah sampai ke Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmaqdis selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan. Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam masjid Qiblatain. Suruhan pertukaran kiblat berlaku ketika Rasulullah sedang bersembahyang Asar.”
Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah. Lalu diturunkan ayat 142 Surah al-Baqarah. Maksudnya: Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ``Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ``Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.
Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah s.w.t untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah s.w.t. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah tersebut telah diperkenankan oleh Allah s.w.t pada bulan Syaaban.


Perang zat al-riqa`
Dalam pertempuran ini seramai 400 tentera Islam terdiri daripada berkuda dan berjalan kaki telah menghadapi kekuatan musuh daripada Banu Muharib dan Banu Tha’labah daripada Ghatfan di satu tempat di Najd bernama Zat al-Riqa’. Perang ini berlaku pada bulan Syaaban tahun ke-4 Hijrah. Perang ini berakhir dengan kemenangan di pihak Islam apabila kedua-dua kabilah musuh telah melarikan diri.


Perang banu al-mustalaq daripada khuza`ah
Seramai 1, 000 tentera Islam telah bertembung dengan Banu al-Mustalaq di satu tempat bernama al-Mari’ pada bulan Syaaban tahun ke-5 Hijrah. Pihak musuh telah melarikan diri selepas berlaku peperangan yang pendek.


Malam nisfu syaaban
Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal r.a Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :


“Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhluk-Nya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (H.R Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)


Pada malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Menyebut pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm telah berkata:


“Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.”

TIPS KELUARGA BAHAGIA


Tips Rumahtangga yang bercirikan syurga
  1. Meningkatkan ilmu pengetahuan pada seisi rumah itu.
  2. Penghayatan agama yang berterusan.
  3. Memastikan seisi rumahtangga dalam keadaan sihat sejahtera dan aman damai.
  4. Perlu adanya pengukuhan ekonomi.
  5. Komunikasi yang cemerlang.
  6. Wujudnya kemesraan antara suami dan isteri.
  7. Suasana rumahtangga yang selesa.
Tips Komunikasi Keluarga Cemerlang
  1. Berkongsi melakukan tugasan di rumah
  2. Berbincang dalam membuat perancangan sesama ahli kelaurga atau sebelum membuat keputusan yang memberi kesan kepada keluarga
  3. Menggunakan humor yang bersesuaian untuk mengurangkan ketegangan yang disebabkan oleh konflik yang mungkin berlaku.
  4. Meraikan hari ulangtahun perkahwinan dan hari lahir bersama ahli keluarga.
  5. Makan malam bersama.
  6. Beribadah secara berjemaah.
  7. Riadah bersama keluarga atau membawa keluarga pergi bercuti di tempat yang bersesuaian.
Tips Komunikasi ke Arah meningkatkan Kasih Sayang Berkekalan
  1. Berkongsi impian dan tugasan di rumah.
  2. Tidak mudah dan tidak sesekali merasa kecewa walaupun menempuh cabaran dan masalah dalam rumahtangga.
  3. tidak berdendam-kesumat antara satu sama lain.
  4. Sentiasa memohon maaf dan memaafkan kesilapan masing-masing.
  5. Sentiasa mencari emas dalam diri pasangan.
  6. Menganggap pasangan sebagai kawan yang paling akrab.
  7. Sentiasa bersolat jemaah dan saling doa mendoakan pasangan.
  8. Berterus terang mengenai perselisihan yang kecil untuk mengelakkan konflik yang lebih besar.
  9. Memahami kepentingan hubungan seks.
  10. Mencari perubahan untuk merangsang perubahan dalam rumahtangga.
Tips Komunikasi Cemerlang, Gemilang, Terbilang Pasangan Suami Isteri
  1. Berdoa kepada Allah S.W.T untuk sentiasa disayangi oleh pasangan.
  2. Sentuh dan tegur pasangan sebelum menyambung kerja lain apabila pasangan balik ke rumah.
  3. Berlatih untuk menjadi pendengar yang baik.
  4. Memberi pujian kepada pasangan mengenai penampilan masing-masing dan memberi galakan kepada perubahan yang cuba dibuat oleh pasangan.
  5. Memujuk apabila pasangan marah atau berkecil hati
  6. Ucapkan kata-kata syang atau romantik dua kali sehari.
  7. Memberi perhatian terhadap perkara yang disampaikan oleh pasangan dengan tekun.
  8. Peluk pasangan dengan penuh kasih sayang tujuh kali sehari.
  9. Ucapkan terima kasih atas setiap khidmat yang diberikan oleh pasangan.
  10. Sentiasa memastikan bilik tidur dalam keadaan kemas seperti baru berkahwin.

keberkatan rezeki halal


ALLAH menjamin rezeki makhluknya. "Dan, tidak ada suatu binatang melata pun di bumi, melainkan Allahlah yang akan memberi rezekinya." (Surah Hud ayat 6).
Sumber rezeki sangatlah luas dan dalam. Seluas bentangan bumi dan kedalaman samudera. Setiap jengkal hamparan bumi dan laut terdapat rezeki yang boleh dicari. 
Masalahnya, kerap kali manusia lebih berorientasi menunggu rezeki daripada menjemputnya. Mereka lebih mementingkan selera peribadi dalam memilih sumber rezeki yang mana mahukan sesuatu rezeki itu datang tanpa berusaha mendapatkannya.

Islam menekankan setiap Muslim supaya bekerja keras mencari rezeki dengan menggunakan semua potensi dan kekuatan tulang empat kerat. Elakkan daripada meminta secara haram.

Ambillah iktibar daripada kisah sebuah hadis riwayat Imam Al-Bukhari yang menceritakan berkenaan Hakim bin Hizam yang sering meminta-minta kepada Rasulullah.

Setiap kali dia meminta kepada Rasulullah, Baginda akan memberikannya. Namun setelah tiga kali dia datang meminta, Baginda bersabda: "Wahai Hakim, sesungguhnya harta di dunia ini memang indah dan manis, barang siapa yang mengambil harta di dunia dengan hati yang lapang yakni tidak bercampur dengan sifat ketamakan, nescaya akan dilimpahkan keberkatan dalam hartanya itu, tetapi barang siapa yang mengambil harta dunia dengan ketamakan, pasti tidak ada keberkatan dalam harta yang diperolehinya itu. Orang yang sedemikian ini adalah ibarat orang yang makan dan tidak pernah kenyang perutnya.

Tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah iaitu orang yang menerima pemberian berkenaan."

Setelah Hakim mendengar akan teguran dan nasihat Rasulullah berkenaan sikapnya yang suka meminta-minta, sejak dari itu dia tidak lagi meminta-minta kepada sesiapa pun meskipun dia berada dalam kekurangan.

Inilah sikap terpuji yang patut dicontohi oleh kita semua. Janganlah kita menjadikan sebab kekurangan hasil pendapatan sebagai alasan untuk meminta-minta bantuan semata-mata bagi memenuhi keperluan hidup yang tidak mencukupi.

Namun apa yang menyedihkan pada masa ini terdapat sebilangan orang yang
meminta-minta wang daripada keluarga, jiran atau rakan, ataupun ke rumah orang yang tidak dikenali.

Ada juga di antara mereka meminta-minta kepada pihak tertentu untuk mendapatkan bantuan kewangan dan lebih mendukacitakan terdapat juga segelintir orang yang tanpa segan selalu meminta wang daripada orang ramai di tempat awam seperti di kompleks beli-belah atau restoran dengan alasan hasil pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup.

Rezekinya halal tetapi caranya tidak betul. Walaupun seseorang itu ditakdirkan oleh Allah untuk menjadi orang miskin atau fakir, namun mereka tetap tidak digalakkan untuk meminta-minta.

Ini berdasarkan kepada sabda, dari Imran bin Husin berkata: Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyayangi hamba-Nya yang beriman yang miskin, yang tidak suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai anak yang ramai." (Riwayat Ibnu Majah).

Renunglah, betapa orang miskin lagi tidak digalakkan meminta-minta, apatah lagi orang yang berkemampuan. Sebagai hamba Allah kita hendaklah sentiasa bersyukur dan reda ke atas rezeki yang dikurniakan Allah.

Allah melarang kita daripada bersifat tamak dan haloba kepada harta benda sehingga sanggup mencari harta dengan cara meminta-minta.

Sebagaimana hadis riwayat Imam Al-Bukhari daripada Abdullah bin Umar berkata bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Seorang yang terus-menerus meminta-minta kepada orang ramai, sehingga nanti dia akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya yang hanya tinggal tulang, tidak ada lagi daging padanya."

Walaupun pada dasarnya perbuatan meminta-minta itu haram dan dilarang oleh agama, namun jika timbul sesuatu darurat atau keadaan terpaksa, maka ia menjadi harus.

Keadaan terpaksa atau darurat itu ialah seorang yang lapar meminta makanan untuk mengisi perutnya kerana dia bimbang jika tidak makan dengan segera, mungkin dia akan jatuh sakit atau mati.

Begitu juga orang yang tidak mempunyai sebarang pakaian, terpaksa meminta pakaian bagi menutup auratnya. Hal seperti ini mengharuskan seseorang itu meminta kepada orang lain selama mana peminta itu tidak berkuasa atau mampu membuat sebarang pekerjaan untuk menyara keperluannya.

Jika dia berupaya untuk bekerja tetapi malas maka tidaklah diharuskan ia meminta-minta daripada orang lain. Ingatlah pesan Rasulullah bahawa orang yang bekerja mencari rezeki itu walaupun hasilnya hanya sedikit, itu adalah lebih baik daripada perbuatan meminta-minta.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Az Zuba'ir bin Al Aawam dari Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud: "Sekiranya salah seorang daripada kamu membawa tali lalu pergi ke bukit untuk mencari kayu, kemudian dia pikul kayu tersebut ke pasar untuk menjualnya demi menjaga kehormatannya, nescaya yang demikian itu adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik diberi mahupun ditolak." (Riwayat Imam Bukhari).

Umat Islam hendaklah mengelakkan diri daripada perbuatan meminta-minta kerana perbuatan meminta-minta tanpa sebab itu menjatuhkan maruah serta menjejaskan imejnya.

Malah perbuatan meminta-minta mencerminkan sikap yang negatif masyarakat kerana sentiasa bergantung ihsan dan bantuan daripada orang ramai atau pihak tertentu.

Justeru, kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal serta sentiasa bersyukur, sabar dan reda dengan pemberian Allah.

Sama-samalah berdoa mudah-mudahan Allah meluaskan rezeki-Nya ke atas kita semua.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...