nuff

Cari laman web

Google

LAMAN UTAMA

Ibadah Korban

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Upah Penyembelih dan Petugas Korban

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ أَمَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا قَالَ نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

Daripada Ali RA ia berkata; "Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan korban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Tetapi aku dilarang oleh baginda mengambil upah untuk tukang potong dari haiwan korban itu. Maka untuk upahnya kami ambilkan dari wang kami sendiri." (Sahih Muslim No: 2320) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Daging serta apa-apa sahaja daripada binatang korban hendaklah disedekahkan kepada yang berhak seperti fakir miskin juga jiran tetangga.

2.  Memberi daging korban kepada penyembelih atau pelapah atau petugas sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah dilarang kerana ia termasuk dalam hukum jual beli, iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja mereka.

3.  Imam an-Nawawi ketika mengulas hadis itu menyatakan dalam Syarah Sahih Muslim: “Hadis ini meminta agar kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu bahagian dari bahagian korban kepada mereka. Ia tidak dibolehkan” (9/435 Cetakan Dar al-Khair, Beirut).

4.  Telah sepakat al-Imam al-Syafii dan tokoh-tokoh mazhab al-Syafii bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji dan `umrah dan sembelihan korban dijual. Sama ada ia korban nazar atau sunat. Hal ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih. (8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr)

5.  Hadis ini bukan melarang memberikan upah kepada para penyembelih atau pelapah. Larangan hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Upah itu boleh diberikan dalam bentuk lain seperti wang atau selainnya yang tidak dari bahagian korban. Kerja dan tenaga seseorang itu patut dibayar upah.

6.  Saidina Ali menyebut: Untuk upahnya (penyembelih dan pelapah), kami ambil dari wang kami sendiri.

7.  Walaupun begitu, jika diberi kepada penyembelih atau petugas dari apa yang dikorban disebabkan kemiskinannya atau sebagai hadiah kerana dia jiran dan sebagainya, maka ini tidak mengapa. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar al-Fikr, Damsyik.)

Justeru itu, diingatkan kepada para petugas korban, JANGAN sekali-kali mengambil sendiri bahagian dari sembelihan korban sebagai habuan seperti kaki, kepala, ekor, perut dan lain-lain melainkan yang dihadiahkan oleh orang yang berkorban atau yang diterima seperti agihan kepada penerima lain yang layak.

Oleh itu marilah kita bersikap RAHMAH sebagai petugas, penyembelih juga pelapah dalam melaksanakan ibadah korban.

06hb Ogos 2019
05hb Zulhijjah 1440H

KENAPA INDONESIA TIDAK MEMPUNYAI SULTAN ?

Jam 12 malam 3 Mac 1946 merupakan detik hitam bagi orang Melayu dan kini menjadi penyesalan yang tak sudah bagi sebahagian besar warga Melayu di Sumatera Timur. Ia juga merupakan penyebab orang Melayu Semenanjung menolak untuk menyertai gagasan Indonesia. 

Dalam satu malam sahaja, beberapa orang Sultan di beberapa negeri telah dibunuh dengan kejam oleh puak pro-komunis yang dibantu oleh kuli-kuli ladang dari keturunan pendatang luar.
Peristiwa bermula menjelang tahun 1946 di mana keadaan suhu politik di Sumatera Timur menjadi panas apabila kumpulan pro-komunis mula menguasai parti politik dan juga membentuk askar bersenjata di antaranya Laskar Buruh atau Parti Komunis Indonesia.

Istana Darul Aman, Tanjung Pura, milik Kesultanan Langkat, di tahun 1930an. Kini ia musnah hancur akibat fitnah puak yang melaungkan 'Ketuanan Rakyat' yang semata-mata mahukan kuasa bersama-sama berbelas-belas istana kesultanan lain di Sumatera Timur. Rakyat Sumatera Timur kini menyedari kesilapan yang telah dilakukan oleh datuk nenek mereka terdahulu.

Akibat jarak dan kegagalan Sukarno berhubungan dengan sultan-sultan Melayu di Sumatera bagi mendapatkan kepastian mereka dalam pernyataan sokongan kemerdekaan dari Belanda, Timbalan Gabenor Sumatera yang dilantik, Amir Syarifuddin (salah seorang pro-komunis) tiba di Serdang dalam negeri Asahan dari pulau Jawa dan menghasut para penyokong komunis supaya menghapuskan kuasa Sultan dan bangsawan di istana mereka di Serdang. Dia merupakan seorang penulis yang merupakan redaksi majalah Pemoeda Soematra.

Secara diam-diam, pihak komunis mempersiapkan rancangan untuk menghapuskan monarki kerajaan Melayu dan ingin mengambil alih pemerintahan kerajaan. Mereka kemudian membuat propaganda di akhbar, radio dan risalah serta isu-isu fitnah palsu untuk menghasut rakyat dengan laungan ‘Daulat Rakyat’ bagi melawan laungan ‘Daulat Tuanku’. Selain itu, isu bahawa Raja-Raja Melayu ini mempunyai hubungan baik dengan Belanda dimainkan kononnya pihak istana memeras dan menindas rakyat.

Muslihat ini dilakukan setelah Gabenor Sumatera yang dilantik, Tengku Muhammad Hassan beserta rombongan dengan 7 buah kereta , bertolak dari Medan pada 6 Februari 1946 melalui Brastagi dan Sumatera Tengah menuju ke Sumatera Selatan, dan mengikut rancangan, akan kembali ke Medan pada 22 Mac 1946.

3 Mac 1946, tepat jam 12 malam secara serentak, orang ramai yang kebanyakan rakyat pendatang, telah dipimpin oleh orang-orang komunis kiri PKI dan mengajak bersama-sama mereka PNI dan Pesindo, menyerbu istana dan pejabat kerajaan Melayu dan mengumumkan bahawa kerajaan Melayu telah dihapuskan oleh rakyat Indonesia.

Pembunuhan terhadap kerabat-kerabat raja dilakukan secara besar-besaran dengan ada yang dibenamkan di laut, dipotong kepala mereka, ditanam hidup-hidup dan berbagai pembunuhan sadis yang lain, di lakukan oleh orang ramai yang pro-komunis yang dipimpin Parti Komunis Indonesia.

Penyerbuan itu merupakan tragedi buat Sultan Bidar Alam Syah IV di negeri Bilah, Sultan Mahmud Aman Gagar Alam Syah di negeri Panai dan Tengku Mustafa yang digelar Yang Dipertuan Besar Makmur Perkasa Alam Syah di negeri Kota Pinang, kesultanan Serdang Asahan di Tanjung Balai, Kesultanan Deli di Medan, kerajaan Melayu Yang Dipertuan Tengku Al Haji Muhammad Syah di Labuhan Batu.

Kesemua sultan ini mangkat dibunuh oleh rakyat pendatang yang bekerja di ladang-ladang Sultan yang terpengaruh dengan dakyah komunis.

Hampir separuh penduduk negeri-negeri ini terdiri dari kaum pendatang yang didatangkan sebagai kuli di ladang-ladang.
Di tempat lain, istana Sultan Langkat di Tanjung Pura dan di kota Binjai diserbu dan dirompak, di mana kerabat raja-raja Melayu Langkat ditangkap dan sebahagian besar dibunuh dengan kejam termasuk sasterawan Indonesia yang terkenal, Tengku Amir Hamzah. Lebih kejam, puteri-puteri Sultan Langkat diperkosa dan yang lebih memilukan lagi pemerkosaan dilakukan di depan mata baginda Sultan Langkat, dan putera mahkota yang masih muda hilang entah ke mana.

Kekejaman ini dilakukan oleh seorang pemimpin PKI bernama Marwan dan pengikut-pengikutnya.

Kesultanan Langkat adalah kesultanan paling kaya dan mewah di Sumatera kerana mempunyai hasil petroleum dan jika istana Sultan Langkat yang hangus dibakar itu masih berdiri, ia merupakan khazanah yang tinggi nilainya untuk orang Melayu sedunia.

Kerabat-kerabat lelaki di negeri Asahan dibunuh kesemuanya termasuk isteri Tengku Musa dan anaknya. Dalam masa beberapa hari, 140 orang yang dikenalpasti sebagai kerabat raja yang memakai nama Tengku, Wan dan Raja mati dibunuh dengan kejam di Asahan sahaja.

Mereka kemudian menangkap semua kerabat-kerabat diraja Melayu di beberapa daerah terdiri dari perempuan dan anak-anak dan dibawa ke kem tahanan di Simalungun dan Tanah Karo, disiksa, dihina dan dibunuh.

Indonesia pada waktu ini seolah-olah menyokong kekejaman ini sehinggakan dua generasi orang Melayu hampir kehilangan identiti mereka.

Mereka takut mengaku Melayu, takut memakai baju Melayu dan menambah gelaran Batak di depan nama mereka supaya boleh bersekolah atau diterima di pejabat kerajaan. Mereka menghilangkan gelaran Tengku atau Wan kerana takut dicaci sebagai kerabat raja.

Akhirnya, selepas 19 tahun, pada 30 September 1965, terjadilah rampasan kuasa oleh Angkatan Bersenjata Republik Indonesia pimpinan Jenerel Suharto yang bertindak memusnahkan Parti Komunis Indonesia. Puak pro-komunis Indonesia menerima nasib yang sama dianggap sebagai balasan kepada apa yang telah mereka lakukan ke atas Sultan-sultan Melayu di Sumatera.

Hampir 2 juta puak pro-komunis Indonesia telah dibunuh oleh tentera Indonesia dan sebahagian besar pemimpin Parti Komunis Indonesia di Sumatera Timur terbabit mencetus ‘Revolusi Sosial 1946’ di Sumatera Timur dengan membunuh para Sultan dan kerabat diraja serta merompak istana-istana, ditangkap dan dibunuh oleh tentera dan juga rakyat.

Sinar bagi orang Melayu di Sumatera Timur kembali pada tahun 1971 apabila pemimpin masyarakat Melayu Sumatera Timur yang dilindungi oleh Panglima Komando Wilayah Sumatera, Leftenan Jeneral Ahmad Tahir, telah mengumpul dan menyatukan sebanyak 17 organisasi masyarakat Melayu dan membentuk payung organisasi bernama MAJLIS ADAT BUDAYA MELAYU INDONESIA (MABMI). 

Sehingga kini, adat budaya Melayu masih banyak yang hilang akibat terputusnya dua generasi pada masa mula revolusi sosial dan sepanjang zaman pemerintahan Sukarno. Walaupun kini telah ada yang berusaha menggali khazanah budaya Melayu Sumatera Timur tetapi itu belum cukup tanpa bantuan dari orang orang Melayu di seluruh penjuru dunia.

Para pecinta sejarah Indonesia kini menyesali keterlanjuran masyarakat yang mudah ditipu oleh pihak komunis yang kononnya pro-rakyat yang meniup fitnah demi merampas kuasa pemerintahan dengan jalan mudah.

Tengku Amir Hamzah, Pahlawan ulung wafat setelah dipenggal kepala di Kuala Kegumit. Beliau tidak lari saat nak dibunuh, beliau berkata "lari dari binjai patik pantang, patik ialah keturunan Panglima, kalah di gelanggang sudah biasa".

Di Malaya, bersyukurlah kita di atas kegagalan Gagasan Indonesia Raya. Jika tidak, belum tentu apakah nasib Islam, Melayu dan Raja-raja.

Berhati-hatilah dengan slogans namanya ''PEJUANG RAKYAT''.. padahal merekalah Gunting Dalam Lipatan. Baca sejarah jatuhnya Raja raja Melayu di Indonesia. Jangan biarkan sejarah di sana terjadi di sini.

Ukuran Menggunakan Air Ketika Berwuduk


عَنْ أَنَسٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ بِالْمُدِّ وَيَغْتَسِلُ بِالصَّاعِ إِلَى خَمْسَةِ أَمْدَادٍ

Dari Anas RA dia berkata, "Nabi SAW berwuduk dengan satu mud dan mandi dengan satu sha' (empat mud) hingga lima mud." (HR Muslim No: 490) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:
1. Islam mengajar kita agar sentiasa berjimat termasuk dalam berwuduk.
2. Mud ialah cupak : ukuran untuk 1 cupak : 625 gram = 750 ml. air
Sho' ialah gantang : ukurannya bersamaan dengan 4 cupak = 3 liter air.

3. Nabi SAW berwuduk dengan 750 ml air dan menggunakan 3 liter air untuk mandi wajib (satu amalan sunnah untuk diikuti dengan tidak membazirkan air).

4. Al-Marwazi r.h menyebutkan: Sesungguhnya Imam Ahmad apabila berwuduk, hampir tidak membasahi bumi / tanah tempat ia berwuduk.

Ayuh berjimat menggunakan air.
 Jika berwuduk dan mandi ada hadnya, apatah lagi untuk kegunaan lain.
Jimatkan penggunaan air!.

Pokok Pokok Maksiat

Pokok pokok maksiat baik yang kecil maupun yang besar ada tiga:
1. Bergantungnya hati kepada selain Allah.
2. Mengikuti kekuatan marah....
3. Menaati kekuatan syahwat.


Ujung ketergantungan hati kepada selain Allah adalah syirik dan berdo'a kepada selain Allah.
Ujung menaati kekuatan marah adalah pembunuhan.

Dan ujung menaati kekuatan syahwat adalah zina.

Allah mengumpulkan tiga pokok ini dalam firmanNya:

وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ يَلْقَ أَثَامًا

“Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya)”. (Alfurqon:68)

Tiga pokok ini saling menyeret kepada satu sama lainnya. Syirik menyeret kepada berbuat zalim dan zina. Sebagaimana ikhlas dan tauhid dapat meenyelamatkan seseorang dari keduanya.

Sebagaimana firman Allah tentang Nabi Yusuf Alaihissalam:

كَذَٰلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ ۚ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ

“Demikianlah agar kami memalingkannya dari perbuatan buruk dan zina. Sesungguhnya ia (Yusuf) termasuk hamba hamba Kami yang diikhlaskan”. (Yusuf:24)

Oleh karena itu semakin tauhid seseorang itu lemah di hatinya, maka semakin kuat kesyirikan dan perbuatan kejinya serta hatinya bergantung kepada gambar dan merasa asyik dengannya.

Ayat yang semakna dengan ini juga adalah firmanNya:

فَمَا أُوتِيتُم مِّن شَيْءٍ فَمَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَمَا عِندَ اللَّهِ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ لِلَّذِينَ آمَنُوا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ . وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ.

“Maka sesuatu yang diberikan kepadamu, itu adalah kenikmatan hidup di dunia; dan yang ada pada sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka, mereka bertawakkal. Dan (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji, dan apabila mereka marah mereka memberi maaf”. (Asy Syuuro: 36-37)

Dalam ayat ini Allah mengabarkan bahwa apa yang ada di sisiNya lebih baik bagi orang yang bertawakal kepadaNya dan ini adalah tauhid.

Kemudian Allah mengabarkan bahwa mereka meninggalkan dosa dosa besar dan perbuatan keji. Ini adalah meninggalkan kekuatan syahwat.

Lalu Allah mengabarkan bahwa mereka apabila marah segera memberi maaf. Ini adalah meninggalkan kekuatan marah.

Dalam ayat tersebut Allah mengumpulkan antara tauhid, iffah (menjaga kehormatan) dan keadilan.
Inilah poros seluruh kebaikan.
(Fawaidul Fawaid hal 293-295)

Hasan al-Basri

Hasan al-Basri (642 - 728 atau 737) ialah ahli teologi Arab terkenal dan Cendekiawan Muslim.
Hasan al-Basri dilahirkan di Madinah pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab pada tahun 21 Hijrah (642 Masihi). Beliau pernah menyusu dengan Ummu Salamah, isteri Rasulullah S.A.W. Hasan al-Basri juga pernah berguru kepada beberapa orang sahabat Rasulullah S.A.W. sehingga beliau muncul sebagai Ulama terkemuka dalam peradapan Islam. Hasan al-Basri telah meninggal dunia di Basrah, Iraq, pada hari jumaat 5 Rejab 110 Hijrah (728 Masihi), pada umur 89 tahun. Beliau pernah hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik b. Marwan. 

Biografi

Bapa beliau bernama Pirouz (Parsi: پيروز, kemudiannya dikenali Abol Hasan, atau bapa kepada Hasan), adalah tuan tanah Parsi (دهگان) di sebuah kampung Khuzestan dan menjadi hamba semasa kempen ketenteraan di zaman Khalifah Umar. Pirouz kemudiannya dibawa balik ke Madinah sebagai seorang mawali. Dalam kekacauan perang, Pirouz bersama dengan seorang perawan dari kampungnya, diberikan kepada Ummu Salama. Ummu Salama menghadiahkan mereka berdua kepada saudara terdekat beliau dan kedua-duanya berkahwin dengan tuan mereka dan dibebaskan. Dikatakan Ummu Salama selalu menyusukan Hasan. Hasan kemudiannya dipanggil Tabi'in (generasi selepas sahabat).
Hasan menjadi guru di Basrah, (Iraq) dan menubuhkan madrasah di sana. Antara pengikutnya yang terkenal adalah Amr ibn Ubayd dan Wasil ibn Ata, pengasas mazhab Muktazilah.
Hasan adalah penyokong kuat nilai tradisional (orthodox) dan cara hidup zuhud. Menurut beliau takut adalah asas kepada moral dan kesedihan adalah ciri agama; kehidupan hanyalah perjalanan untuk ke akhirat, dan kesenangan hendaklah dinafikan untuk menewaskan nafsu. Hasan al-Basri juga dipandang tinggi oleh ahli sufi kerana sikap zuhudnya. Walau bagaimanapun, beliau bukanlah seorang sufi.
Hasan dikenali sebagai seorang yang suci jiwanya menyamai para sahabat. Dalam politik, beliau menentang sistem pewarisan khalifah dalam dinasti Umayyah tetapi percaya kepada pemilihan khalifah. Walau pun mempunyai pandangan kritis mengenai pemerintahan Umayyah, beliau tidak menyokong pemberontakan terhadap pemerintahan tidak adil khalifah Umayyah. Khutbah beliau mengandungi antara contoh terbaik dan terawal sastera Arab.
Beliau berkahwin dengan seorang wanita dari Ahli Kitab.

GENGKHIS KHAN : PENGAJARAN UNTUK UMAT ISLAM


SEJARAH PECAH DAN PERINTAH


🏹Ketika umat Islam diserang tentera Tatar, hampir seluruh wilayah Islam dijajah. Antara yang terawal adalah wilayah Khurasan yang berjiran dengan Mongol.

Pada satu peringkat di Khurasan, Tatar tidak berdaya menghadapi umat Islam di kota Bukhara. Lalu pemimpinnya Genghis Khan menulis surat kepada umat Islam:
"Sesiapa yang menyerahkan senjatanya dan menyertai tentera Tatar, mereka akan selamat. Namun barangsiapa yang enggan, mereka pasti akan menerima penyesalan."

Surat tersebut menyebabkan umat Islam yang sedang terancam itu berpecah kepada dua pihak. Pihak pertama menolak keras tawaran Genghis Khan dengan berkata:
"Seandainya mereka mampu memerangi kita, tak mungkin mereka menawarkan sedemikian. Ini menandakan peluang kita cerah. Teruskan perjuangan, pasti kita akan beroleh salah satu antara dua kebaikan; menang ke atas mereka atau syahid penuh bahagia!"


Namun pihak kedua cenderung untuk menerima tawaran tersebut. Mereka berkata:
"Wajarkah kita sengaja menumpahkan darah sendiri, dalam keadaan kita tahu bahawa kita tidak akan mampu menentang mereka? Tidakkah kalian lihat bilangan dan kelengkapan mereka?"


Genghis Khan terus mengambil peluang dari pertelingkahan ini. Dia mengutus surat berikutnya khusus kepada pihak kedua yang sanggup menerima tawaran. Dalam surat tersebut, dia berjanji akan memberikan tampuk kekuasaan Bukhara kepada pihak tersebut dengan syarat mereka menumpaskan pihak pertama.

Tawaran itu menyebabkan pihak kedua rambang mata. Terus mereka menyahutnya tanpa rasa bersalah. Sanggup mereka memerangi saudara sendiri bagi pihak Tatar.
Pertempuran pun berlangsung. Akhirnya tumpaslah pihak yang teguh mempertahankan prinsip di tangan pihak yang menjual agama dengan habuan dunia.

Apa yang menyedihkan, pihak yang menerima tawaran Tatar itu tidak dianugerahkan apa yang dijanjikan. Sebaliknya senjata mereka dirampas, mereka ditangkap dan diarahkan supaya disembelih kesemuanya.

Genghis Khan mengungkap satu kata-kata yang sangat masyhur:
"Kalaulah mereka boleh dipercayai, mustahil mereka sanggup memerangi saudara sendiri demi kita. Padahal kita orang asing bagi mereka..!"


🏹10 pengajaran dari cerita di atas:
🔴1. Taktik pecah dan perintah, strategi ampuh menghadapi Islam zaman berzaman.
🔴2. Aqidah perjuangan yang lemah punca tidak yakin dengan janji kemenangan dari tuhan.
🔴3. Habuan takhta dan harta mudah menggugat keikhlasan perjuangan.
🔴4. Pabila dunia menguasai diri, saudara sendiri pun sanggup dikhianati.
🔴5. Mempercayai bulat-bulat kata-kata musuh adalah kebodohan yang membinasakan.
🔴6. Islam tidak kalah kerana ajaran agama ini. Sebaliknya kalah kerana penyelewengan orang Islam terhadap agama sendiri.
🔴7. Dedak musuh itu beracun. Dan racunnya mampu membunuh jamaah.
🔴8. Pengkhianat tidak akan bahagia. Nikmat mereka hanya sementara.
🔴9. Pentingnya untuk berpegang kepada prinsip. Walau menyusahkan (tampak syadid), ia perisai pertahanan yang utuh!
🔴10. Tidak ada kerjasama dengan pihak luar dalam menentang sesama sendiri.


🏹Tiga kata-kata hikmah yang perlu diambil iktibar:

⛯1. ما أشبه اليوم بالأمس
"Alangkah samanya hari ini dengan semalam."

⛯2. لا تقتلوا أسودكم فتأكلكم كلاب عدوكم
"Jangan kamu bunuh singa di kalanganmu, nescaya kamu akan dimakan oleh anjing di kalangan musuhmu."

⛯3. من لا يتعلم التاريخ يعلمه التاريخ
"Barangsiapa tidak belajar dari sejarah, maka sejarah akan mengajarkannya kembali."
(Alang Ibn Shukrimun)

Saifuddin Muzaffar al-Qutuz

Saifuddin Muzaffar al-Qutuz

Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz dilahirkan dalam kalangan keluarga beraja Mamluk Mesir. Baginda telah menaiki takhta kerajaan pada 1259 dan mangkat akibat dibunuh pada Oktober 1260. 

Jasa

Antara jasa beliau yang tercatit di dalam sejarah Islam ialah berjaya menewaskan tentera Mongol pimpinan Kitbuqa di dalam peperangan Ain Jalut. Ketika itu, seluruh kota Islam (Baghdad, Syria dan Asia Tengah) sudah ditakluki tentera Mongol. Hanya yang tinggal adalah 3 kota Islam iaitu Makkah, Madinah dan Mesir.
Dengan kerjasama daripada panglima beliau iaitu Panglima Baibars, Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz mengisytiharkan perang terhadap tentera Mongol dengan membunuh empat orang utusan perangnya (ada sebahagian ahli sejarah menyatakan empat orang utusan perang Mongol adalah perisik). Pembunuhan ini menyebabkan kemarahan pihak Mongol. Pada 3 September 1260, berlakulah pertempuran antara tentera Islam dengan tentera Mongol di tempat yang bernama Ain Jalut yang mana pertempuran ini dimenangi oleh tentera Islam seterusnya menyebabkan tentera Mongol menghentikan usaha untuk menakluk negeri lain akibat kerugian dan kekalahan yang dialaminya.

Strategi Menghadapi Tentera Mongol

Setelah membuat risikan, Qutuz mendapat maklumat bahawa kekuatan tentera Mongol adalah berasaskan tentera berkuda ringkasnya yang mana mampu membuat serangan yang cepat dan pantas tanpa sempat memberi peluang kepada musuhnya untuk menyerang balas. Untuk itu, Sultan Qutuz memperlengkapkan tentera berkudanya dengan kelengkapan senjata-senjata berat yang mana fungsinya mampu menahan serangan pantas dan menyerap ketangkasan tentera berkuda Mongol.
Ketika peperangan di Ain Jalut, Sultan Qutuz menyembunyikan sebahagian besar tentera berkudanya di sebalik pokok-pokok di lembah Ain Jalut. Ketika ini, Panglima Baibar mengetuai pasukan kecil untuk menahan gempuran tentera Mongol yang diketuai oleh Kitbuqa. Baibar bersama tentera berkuda bersenjata beratnya berjaya mengasak tentera Mongol dan setelah beberapa ketika, Sultan Qutuz mengarahkan tentera berkuda yang bersembunyi di sebalik lembah melancarkan serangan mengejut. Dengan itu, tentera Mongol diserang dan dikepung di dalam lembah Ain Jalut. Taktik ini berjaya dan dapat mencegah kemaraan tentera Mongol dan seterusnya dapat melumpuhkan kekuatan tentera Mongol di Timur Tengah. Malah Kitbuqa sendiri mati dibunuh.

Keperibadian

Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz mempunyai keperibadian yang baik dan sanggup berkorban demi kemaslahatan umat Islam. Diceritakan para sejarawan Islam bahawa Sultan Saifuddin sanggup menggadai barang-barang istana beliau termasuk harta para pembesar Mamluk tanpa mengenakan cukai tambahan terhadap rakyatnya dalam usaha untuk mengumpul kewangan dalam persiapan menentang tentera Mongol.
Isteri beliau juga turut sama berjuang di medan pertempuran Ain Jalut & terkorban syahid.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...