Pertama kali ke Manila dan tanpa sebarang nasihat atau pedoman, penulis
berhadapan dengan pengalaman sukar hendak mendapatkan makanan halal di
ibu kota Filipina itu terutama pada hari pertama. Hotel Manila,
penginapan kami yang juga venue persidangan berlokasi di Teluk Manila,
agak terpinggir dari pusat kota.
Untuk itu, kami terpaksa keluar ke Makati dengan teksi bertambang 200
Pesos (RM17) sehala pada waktu biasa. Pada waktu jalan sesak teruk –
kesesakan paling teruk di Kuala Lumpur adalah biasa bagi Manila –
tambang diminta 400 Pesos (RM34). Ada pemandu yang minta 700 Pesos
(RM60) untuk perjalanan sehala sedangkan kalau hendak dikira jarak
tidaklah begitu jauh.
Itu hanya untuk mendapatkan makanan halal sedangkan sepanjang waktu
siang, kami terperangkap di dalam dewan persidangan dengan makanan yang
disediakan oleh penganjur amat dicurigakan status halalnya. Pihak hotel
pula hanya menyediakan makanan halal yang boleh dikira meyakinkan pada
waktu sarapan.
Itulah situasi di Manila, kota metropolitan yang tidak ramai orang tahu
bahawa suatu ketika dahulu adalah sebuah kota Islam. Raja Islam yang
terakhir memerintah Manila ialah Raja Soliman @ Sulaiman. Sebelum itu,
Manila diperintah oleh bapa saudaranya yang bernama Raja Matanda dan
Lakandula.
Apabila disebut Islam di Filipina, fikiran kebanyakan kita tertumpu di
selatan negara itu, Mindanao dan kepulauan sekitarnya. Tidak ramai yang
tahu bahawa sebelum penjajahan Sepanyol, 98 peratus daripada penduduk
wilayah kepulauan itu beragama Islam.
Manila, pernah diusahakan untuk jadi ibu kota Islam di Nusantara.
Malangnya, penjajahan Sepanyol yang begitu berdendam terhadap orang
Islam susulan apa yang berlaku di tanah air mereka, telah ‘memurtadkan’
terus Manila malah seluruh Filipina hingga hari ini.
Yang tinggal Islam daripada 94 juta populasinya sekarang hanya lima peratus!
Bagaimana hilangnya Islam di Andalusia, begitulah juga hilangnya Islam di Filipina.
Arab
Manila, nama asalnya Kota Seludong mendapat nama daripada perkataan
Arab, ‘Amanillah’ ataupun ‘Fi amanillah’ yang bermaksud ‘Kota Aman
Lindungan ALLAH’.
Raja Sulaiman memerintah di delta Sungai Pasig, bersemayan di tapak
asal bandar Manila, tidak jauh dari Hotel Manila sekarang. Selain
beliau, bapa saudaranya, Lakandula memerintah kerajaan Tondo yang
menguasai muara Sungai Pasig. Meskipun wilayah mereka tidak seluas mana,
kedua-duanya memerintah dengan makmur.
Lakandula yang menguasai pelabuhan, membeli semua barangan yang dibawa
oleh pedagang terutama dari China dan beliau membayar terus separuh
harga untuk setiap barangan itu sebelum menjual semula kepada mereka
yang mahu membelinya di wilayah pedalaman dan kepualuan sekitar. Separuh
lagi harga dibayar kepada pedagang terbabit apabila mereka datang
semula ke Manila setahun kemudiannya.
Raja Sulaiman pula mengambil alih pemerintahan daripada bapa
saudaranya, Raja Matanda. Raja Sulaiman adalah raja Islam yang terakhir
di Manila. Anak Lakandula, Magat Salamat yang juga putera mahkota, tidak
sempat naik takhta ekoran kemasukan Sepanyol.
Wakil Hispanik yang pertama kali menjejak kaki ke Filipina (ketika itu,
belum ada nama Filipina) ialah Ferdinand Magellan yang mendarat di
Pulau Cebu pada 16 Mac 1521. Cebu ketika itu diperintah oleh Raja
Humabon. Pembantu Magellan ketika di Cebu ialah Panglima Awang, seorang
anak muda Melayu yang ditawannya di Melaka. Magellan berasal dari
Portugal namun dalam misinya di Nusantara, beliau mewakili Sepanyol.
Disebabkan bahasa Melayu hampir sama dengan bahasa tempatan, Awang diminta jadi penterjemah kepada Magellan.
Dengan pengaruh Magellan, Raja Humabon bersama pengikutnya bersetuju
untuk tukar agama. Mereka jadi kumpulan yang pertama murtad di Filipina
lalu digelar oleh Magellan sebagai ‘Warga Tuhan Sepanyol’. Persetujuan
Raja Humabon adalah disebabkan janji Magellan untuk membantunya
memerangi pemberontak Mactan yang diketuai Lapu Lapu.
Buluh
Magellan bersama 60 anggota delegasinya menyerang Lapu Lapu dengan
senapang, meriam dan segala jenis senjata besi. Lapu Lapu bersama 1,500
pahlawan Mactan pula hanya bersenjata buluh runcing dan panah beracun.
Magellan terkena panah beracun dan temui ajalnya di situ manakala
pengikutnya lari lintang pukang balik ke kapal. Panglima Awang juga
turut tercedera.
Usaha Sepanyol dalam misi Gold, Glory and Gospel diketuai oleh Magellan
tidak begitu berjaya. Bagaimanapun mereka telah dapat menanam benih
Kristianisasi dengan murtadnya Raja Humabon dan pengikutnya.
Sejak itu, beberapa lagi misi dihantar ke Filipina hinggalah ia mula
memberi kesan melalui pertapakan Miguel Lopez de Legazpi di Cebu pada
1565. Cebu yang telah dikristiankan menerusi pemurtadan Raja Humabon
yang sudah pun mempunyai nama baharu, Carlos (bersempena dengan nama
Raja Sepanyol) menyambut baik kehadiran de Legazpi.
Sejak itu, Cebu menjadi pusat pemerintahan penjajah Sepanyol. Nama
Filipina juga mula digunakan, iaitu ‘Islas de las Felipina’ yang
mengambil nama raja muda Sepanyol, Felipe.
de Legazpi bagaimanapun tetap tidak berpuas hati kerana belum menguasai
Manila yang didengarinya lebih strategik untuk dijadikan pusat
pemerintahan. Beliau mengatur rancangan untuk menyerang Manila dan
menghantar Martin de Goiti dan Juan de Salcedo sebagai utusan untuk
rundingan ‘persahabatan’ dengan Raja Sulaiman. Pada mulanya, mereka
disambut baik, namun apabila menyedari muslihat Sepanyol, Raja Sulaiman
enggan menyerah kalah lalu berlaku pertempuran pada 1570.
Pertempuran demi pertempuran terus meletus hingga 1574, yang akhirnya
menyaksikan ketewasan di pihak Raja Sulaiman yang dibantu oleh bapa
saudaranya, Lakandula. Raja Sulaiman juga dibantu oleh seorang lagi
pemerintah Islam bernama Tarik Sulaiman dari Macabebe dalam Perang
Bangkusay.
Bagaimanapun kecanggihan senjata Sepanyol tidak dapat ditandingi.
Setelah kekalahan Raja Sulaiman, penjajah Sepanyol terus memperlihatkan
dendam kesumat mereka yang begitu membara. Mereka meruntuhkan tapak
kerajaan Raja Sulaiman di bandar Manila lalu mendirikan kota di
sekeliling ibu pejabat mereka yang diberi nama Fort Santiago.
Kawasan di dalam kota itu dikenali sebagai Intramuros yang jadi tumpuan pelancong hingga hari ini.
Ada riwayat menyebut, Lakandula selepas itu mengambil tindakan
berkompromi dengan penjajah, dan telah murtad bersama keluarganya.
Beliau menukar nama kepada Don Carlos Lacandola. Dalam rekod sejarah
Sepanyol, Lakandula dianggap seorang pemerintah yang bijak kerana
memilih untuk berdamai dan keluarga serta keturunannya diberikan
beberapa keistimewaan oleh penjajah.
Ada disebutkan bahawa beberapa nama besar Filipina hari ini termasuk
bekas Presiden Diosdado Macapagal dan anaknya yang juga bekas Presiden,
Gloria Macapagal Arroyo adalah daripada keturunan Lakandula.
Keturunannya yang lain termasuk dua bekas presiden Senat, Jovito Salonga
dan Gil Puyat; selebriti antarabangsa, Lea Salonga dan tokoh
perniagaan, Gonzalo Puyat.
Sementara Raja Matanda pula ketika terlantar sakit dikatakan telah
minta untuk dibaptiskan. Yang kekal Islam hingga menemui syahid dalam
peperangan menentang penjajah, adalah Raja Sulaiman, seorang penganut
Islam yang taat daripada aliran Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
Sama ada cerita kemurtadan raja-raja Manila ini benar ataupun sekadar
propaganda penjajah, tidak dapat dipastikan. Apa yang pasti lebih 90
peratus penduduk Filipina hari ini beragama Katholik, agama yang dibawa
oleh Sepanyol dan mereka adalah daripada keturunan nenek moyang yang
beragama Islam.
Keadaan telah berubah begitu drastik hingga untuk mendapat makanan halal pun begitu sukar di Manila!
Bukanlah tidak ada orang Islam di Manila, masjid pun ada namun bilangan
mereka adalah sangat sedikit berbanding keseluruhan populasi.
Kebanyakannya bertumpu di Quiapo District, dan apa yang menyedihkan
ialah dari sudut sejarahnya. Hilangnya Islam di Manila (dan hampir
seluruh Filipina) adalah kerana pemurtadan nenek moyang mereka!
Sejak era Christopher Columbus yang tersesat ke Amerika dalam pelayaran
ke India, setiap orang tempatan yang ditemui digelar Indian. Di
Filipina, penjajah Sepanyol menggelar penduduk tempatan yang telah
dikristiankan sebagai Indios manakala penduduk di kepulauan selatan
(Mindanao dan lain-lain) yang beragama Islam sebagai Moro. Ini adalah
berkaitan dengan pengalaman mereka di Sepanyol yang mana orang Islam
digelar ‘Moor’ sebagai gelaran penghinaan.
Sulu
Selepas menguasai Manila dan sebahagian besar wilayah Filipina,
Sepanyol cuba untuk mara ke selatan. Bagaimanapun mereka menghadapi
tentangan sengit daripada penduduk di sana. Sepanyol tidak pernah
berjaya menjajah wilayah selatan Filipina. Orang Suluk atau Tausug di
selatan Filipina sejak abad ke 14 lagi sudah mempunyai empayar
kesultanan yang kuat.
Dengan sejarah gemilang sebagai pemilik empayar Sulu, sukar bagi
Sepanyol untuk menewaskan mereka, tidak seperti di utara. Bagaimanapun
Sepanyol menggunakan jalan selamat untuk tidak menggunakan orangnya
sendiri di barisan hadapan sebaliknya menghantar penduduk Filipina
sendiri yang telah dikristiankan untuk memerangi saudara mereka yang
masih Islam.
Ini terus berlaku hinggalah kekuasaan bertukar tangan. Pada 1898,
pengakhiran Perang Sepanyol – Amerika Syarikat telah membawa Amerika
sebagai penjajah baharu Filipina.
Penduduk selatan Filipina cuba untuk mendapatkan kemerdekaan bagi
wilayah mereka yang tidak pernah dijajah oleh Sepanyol namun tidak
diendahkan oleh Amerika Syarikat.
Ternyata Amerika mendapat kekuasaan ke atas wilayah itu dengan
muslihat. Ini kerana berdasarkan rekod yang ia tidak pernah dijajah oleh
Sepanyol, mana mungkin Sepanyol menyerahkan begitu sahaja wilayah
tersebut kepada Amerika Syarikat sedangkan Sepanyol sendiri tidak
mempunyai kuasa di situ.
Bagaimanapun, keadaan sudah tidak berupaya untuk diperbaiki lagi.
Kekallah wilayah selatan Filipina di bawah pentadbiran Amerika Syarikat
melalui ‘penjajahan di atas kertas’ hingga 1946 (tahun Filipina mendapat
kemerdekaan) yang kemudian disambung dengan pemerintahan kerajaan Pusat
oleh anak watan dari Manila.
Apa pun, nasib penduduk selatan terutama di Mindanao tidak pernah
berubah. Mereka dipinggirkan dari arus pembangunan dengan persengketaan
yang berterusan, yang bermula sejak zaman penjajahan Sepanyol yang telah
mencetuskan konflik agama antara selatan dengan utara.
Mengikut rekod, penjajah sememangnya pernah cuba mengkristiankan
selatan Filipina hingga seorang Sultan Sulu, Sultan Azimuddin @
Alimuddin I pernah dibaptiskan di Manila pada 1750. Beliau menukar nama
kepada Don Fernando de Alimuddin, The Christian Sultan of Jolo.
Berdasarkan undang-undang kesultanan Sulu yang ketat, hak beliau dan
keturunannya gugur secara automatik apabila meninggalkan Islam. Sultan
yang murtad itu malah telahpun memberikan kebenaran kepada mubaligh
Kristian untuk menyebarkan agama mereka di wilayahnya.
Lantaran itu, berlaku perbalahan antara beliau dengan kerabat diraja
yang lain hingga akhirnya, Raja Muda Bantilan dilantik menggantikan
Sultan Alimuddin I dengan gelaran Sultan Bantilan Muizuddin.
Dengan itu, gagallah usaha untuk mengkristiankan selatan Filipina
sebagaimana yang telah dilakukan dengan jayanya oleh penjajah Sepanyol
di kepulauan utara.
Sultan yang terbuang akibat murtad itu bersama keluarga dan pengikutnya
berhijrah ke Zamboanga, kemudian ke Manila dan diberi sambutan mesra
oleh Sepanyol.
Ada maklumat mengatakan, beliau kemudiannya kembali semula ke Sulu dan
bertaubat, namun kesahihan maklumat itu tidak dapat dipastikan.
Ganas
Ironinya, kedudukan umat Islam di Filipina hari ini amat menyedihkan.
Mereka bukan sahaja telah bertukar daripada majoriti menjadi minoriti
malahan diperangi dan dianggap pengganas oleh dunia.
Memang benar ada segelintir daripada mereka yang beraksi sebagai
pengganas namun siapakah yang meletakkan mereka dalam kancah
ketidakadilan hingga terpaksa jadi begitu?
Meskipun negara telah mencapai kemerdekaan, hak mereka sebagai pribumi
terus menerus dipinggirkan. Ruang untuk mereka berekonomi secara selesa
dinafikan sehingga mencetus berbagai-bagai masalah sosial.
Setelah keluarnya penjajah asing, mereka tetap juga diberi kan ayanan
yang tidak adil dalam pemerintahan oleh anak bangsa. Ini dilakukan atas
dasar perbezaan agama.
Itulah dilemanya!
Penduduk selatan yang digelar Bangsamoro ini boleh dianggap mangsa
keadaan setelah nenek moyang mereka memilih untuk kekal dalam Islam dan
beriman, tidak sebagaimana saudara mereka di Cebu, Luzon atau di
mana-mana wilayah Filipina yang lain.
Mereka boleh sahaja memilih untuk hidup senang, aman dan kaya raya
dalam arus perdana negara jika sanggup untuk murtad dan bersekongkol
dengan penjajah yang telah merampas negara, hasil mahsyul malah agama
nenek moyang mereka. Siapa yang sebenarnya mencetuskan keganasan?
Itulah ceritanya 'keadilan' dunia yang berlaku di Filipina!
dari www.sinarharian.com.my/nasional/manila-kota-yang-murtad-1.511052
No comments:
Post a Comment