nuff

Cari laman web

Google

LAMAN UTAMA

Serangan komando AS sebenarnya menyalahi undang-undang antarabangsa

MINGGU lalu media seluruh dunia memaparkan berita pasukan komando SEAL Tentera Laut Amerika Syarikat menceroboh ke Pakistan dan membunuh Osama bin Laden, pemimpin Al-Qaeda yang sudah lama diburu di kediaman persembunyiannya di Pakistan. Ramailah rakyat Amerika merayakan pembunuhan itu dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan mereka, khususnya Presiden Barack Obama kerana bertindak nekad membenarkan operasi itu dilancarkan. Beberapa jurucakap pihak berkuasa Amerika seolah-olah berlumba untuk membuat pengumuman mendabik dada bagaimana cekap dan pantasnya pasukan komando mereka menjalankan operasi walaupun sebuah daripada dua helikopter ‘Blackhawk Stealth’ terbarunya yang masih dirahsiakan terhempas di pekarangan rumah di mana Osama bersembunyi selama ini.

Pelbagai versi bagaimana Osama dibunuh diumumkan. Mulanya dalam usaha untuk menunjukkan betapa getirnya keadaan, kononnya berlaku tembak menembak antara Osama dan anggota komando Amerika itu hingga menuduh kononnya Osama menggunakan seorang daripada isterinya sebagai perisai ketika terserempak.

Jelas tujuan pengumuman dusta itu adalah mahu menunjukkan betapa baculnya Osama apabila berhadapan dengan musuh hingga sanggup menggunakan isterinya untuk berlindung. Tetapi apa yang sebenarnya berlaku sudah diakui jurucakap Amerika bahawa Osama tidak mempunyai senjata ketika terserempak komando dan jauh sekali menggunakan isterinya sebagai perisai.

Kemudian mereka juga mengatakan isteri Osama itu tercedera dengan peluru liar, ‘berbalas tembak’ yang memberi gambaran seolah-olah berlaku tembak menembak antara anggota komando itu dengan orang Osama, walhal tiada tembak menembak berlaku.
Apa-apa tembakan semuanya dibuat komando yang diberi jolokan sebagai satu pasukan ‘elit’ itu.

Dilihat secara objektif, apakah sebenarnya yang dilakukan Amerika apabila melancarkan serangan itu ke atas kediaman Osama di Abbottabad, sebuah bandar kecil yang mana terdapat akademi ulung tentera Pakistan. Tidak siapapun boleh mempertikaikan bahawa serangan gerombolan pasukan komando lautnya itu adalah tindakan jenayah yang menyalahi undang-undang antarabangsa. Maka itu umat Islam yang tidak merestui perjuangan ekstrem Osama pun mempersoalkan tindakan keganasan sedemikian oleh Amerika.

Tidak menghairankan adanya penulisan yang menyatakan apa yang berlaku itu sebagai satu operasi yang didalangi agensi perisikan CIA yang sememangnya terkenal kerana pelbagai perlakuan dan tindakan buruknya. Kini sudah ada banyak penulisan yang mempersoalkan apa hak Amerika melancarkan serangan oleh gerombolan komandonya ke atas sebuah kediaman awam dalam sebuah negara berdaulat? Apakah ini bukan satu pencerobohan?

Kesimpulan yang amat mencemaskan banyak negara di dunia ialah Amerika sewenang-wenangnya boleh saja menceroboh masuk sebuah negara berdaulat hanya untuk memburu bukan pula untuk menahan tetapi untuk membunuh seseorang yang dianggapnya pengganas. Dengan itu, mangsanya seolah-olah tidak mempunyai sebarang hak lagi sebagai seorang manusia.

Tidak syak lagi arahan yang diberikan kepada gerombolan SEAL itu ialah untuk membunuh Osama. Maka itulah dia ditembak tepat di dahi sebelah kiri manakala isterinya yang ada bersamanya ditembak di kaki saja apabila cuba menghalang mereka menghampiri Osama.

Bagaimana pula agaknya reaksi dunia sekiranya satu pasukan komando dari sebuah negara lain mencerobohi masuk ke satu kawasan di Amerika untuk melakukan pembunuhan demikian ke atas pucuk pimpinannya atau pimpinan kanannya.

Tentunya tindakan itu dianggap satu pencerobohan yang tidak boleh diterima. Apa istimewanya Amerika boleh melakukan pencerobohan demikian? Bukankah ini satu jenayah yang dilancarkan atas arahan pucuk pimpinannya?

Salahkah kalau ada yang menuduh Amerika sebagai sebuah kerajaan pengganas seperti juga negara pelanggannya, Israel yang berterusan melakukan pencerobohan jenayah ke atas Palestin. Jadi bagi Amerika atau Israel mereka mempunyai keistimewaan untuk menceroboh sesebuah negara berdaulat untuk melakukan pembunuhan?

Aneh juga jenazah Osama diterbangkan keluar ke kapal perang induknya untuk dibuang ke laut. Kenapa jenazah itu tidak diterbangkan ke Amerika atau salah sebuah negara sekutunya untuk dibedah siasat dan kemudian dikebumikan? Tindakan terburu-buru pasukan itu juga menyalahi kehendak Islam.

Jelas sekali Amerika tidak pernah mahu mempelajari kesilapan dan implikasi pelbagai tindakan melampaunya melancarkan serangan, misalnya ke atas Afghanistan dan Iraq. Persoalannya, apakah dengan pembunuhan Osama, perjuangan keganasan sedemikian akan selesai atau Al-Qaeda akan lenyap?

Penulis ialah Felo Kanan di UKM

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...