nuff

Cari laman web

Google

LAMAN UTAMA

Jika Kewangan Islam Boleh Disokong, Mengapa Tidak Undang-Undang Islam

– Syahir Sulaiman*

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu” (Al-Baqarah: 208)

*Perkembangan Sistem Kewangan Islam*

Sistem kewangan Islam di Malaysia dalam bentuknya yang terkini telah bermula sejak 30 tahun yang lalu, walaupun prinsip-prinsip asasnya telah sedia ada sejak kedatangan Islam lagi (Akram Laldin, 2013). Keampuhannya semasa melalui tempoh krisis kewangan dunia pada 1986/87 dan 1997/98 telah membuktikan bahawa sistem ekonomi dan kewangan Islam berupaya menjadi alternatif kepada sistem kewangan konvesional.

Menurut Tan Sri Dr Zeti Akhtar, perkembangan sistem perbankan Islam di Malaysia telah melalui empat fasa pembangunan. Fasa pertama melibatkan penubuhan institusi kewangan Islam, dengan tertubuhnya Lembaga Tabung Haji pada tahun 1969 sebagai institusi kewangan Islam pertama di Malaysia. Atas kesedaran yang semakin meningkat, bank Islam pertama iaitu Bank Islam Malaysia Berhad telah ditubuhkan pada tahun 1983 dan dikawalselia di bawah Akta Bank Islam. Seterusnya, pengendali takaful pertama telah ditubuhkan pada tahun 1984 di bawah Akta Takaful, bagi menyediakan skim perlindungan insuran mengikut prinsip Islam.

Dalam fasa kedua, bank konvensional dibenarkan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam melalui operasi jendela (Islamic Window). Fasa ketiga menyaksikan operasi jendela yang telah mencapai saiz kritikal diberi pilihan untuk mentransformasi struktur jendela kepada subsidiari Islam (Islamic Subsidiary). Akhir sekali, apabila kapasiti dipertingkatkan, sektor perbankan Islam telah diliberalisasikan bagi membolehkan sistem perbankan Islam domestik berintegrasi dengan sistem perbankan di peringkat antarabangsa (Pelan Induk Industri Kewangan Islam, 2005).

*PAS dan Perkembangan Sistem Kewangan Islam*

Peranan PAS dalam mengemukakan cadangan dan desakan ke arah pelaksanaan sistem ekonomi dan kewangan Islam telah bermula sejak negara mencapai kemerdekaan, sehingga kini diyakini oleh pengguna Islam dan bukan-Islam, yang telah menyaksikan keindahan dan keadilannya.

Menurut Ismail Said (2011), Muktamar Agung PAS yang pertama pada 4 Januari 1953 telah meluluskan tujuh resolusi penting, termasuklah saranan terhadap sistem ekonomi dan percukaian dalam negara. Manakala dalam Manifesto PAS bagi menghadapi Pilihanraya Umum pertama 1959, PAS mengemukakan lima dasar penting negara yang diperjuangkan PAS, iaitu Siasah (Politik), Iktisad (Ekonomi), Keselamatan, Pendidikan, dan Kebajikan. Sejarah turut merekodkan penglibatan PAS dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara pada tahun 1989 dalam menggubal Dasar Pembangunan Nasional yang telah dilaksanakan di bawah Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua.

Selain itu, sesiapa yang mengikuti perkembangan sistem kewangan Islam di Malaysia akan mengiktiraf jasa besar Menteri Besar Negeri Kelantan di bawah pimpinan PAS.

Sejarah menyaksikan bagaimana Al-Marhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengarahkan agar dipindahkan semua akaun kewangan Kerajaan Negeri Kelantan daripada bank konvensional (ribawi) kepada Bank Islam, walaupun mendapat kritikan pelbagai pihak (Surtahman, 2004). Tindakan tegas beliau pada tahun 1990 ini telah menyuburkan usaha mengembangkan institusi kewangan Islam yang baru memasuki fasa kedua pembangunannya (1990–1999), sehingga Malaysia kini digelar sebagai hub kewangan Islam utama di dunia.

Malah sudah menjadi suatu kemestian di dalam Ucapan Dasar Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang pasti akan memperuntukkan satu bab khusus untuk membicarakan tentang dasar ekonomi Islam, sebagai penyelesaian terhadap kegagalan ekonomi negara dan dunia.

*Sistem Kewangan Islam dan Undang-Undang Islam*

Berbalik kepada agenda pelaksanaan sistem kewangan Islam, usaha yang diambil telah mengambil masa yang amat panjang. Bermula dengan membangkitkan kesedaran awam (public awareness) seterusnya ke arah penggubalan akta-akta yang berkaitan (legislation), ia terus berkembang dengan disokong oleh infrastruktur yang kondusif (infrastructure), pembangunan modal insan yang kompeten (human capital), dan inovasi produk yang berterusan (innovation), untuk bersaing dengan perkembangan sistem kewangan konvensional yang berjalan serentak di dalam negara (dual-system).

Perlu difahami bahawa usaha ke arah pelaksanaan undang-undang Islam juga akan mengambil masa yang amat panjang, dan akan melalui fasa pelaksanaan yang sama sebagaimana agenda pelaksanaan sistem kewangan Islam di Malaysia. Perjuangan yang panjang ini telah dan akan melalui fasa kesedaran awam, konsultasi pakar, penggubalan undang-undang, pembangunan infrastruktur dan modal insan, serta inovasi ijtihad kontemporari.

Justeru sebagaimana kita boleh bersetuju dalam agenda pelaksanaan sistem kewangan Islam di Malaysia, mengapa tidak dapat kita bersetuju dalam agenda pelaksanaan undang-undang Islam dalam negara.  Kedua-duanya adalah sebahagian daripada Islam yang sempurna.

- Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
- 30 Mei 2016

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...