nuff

Cari laman web

Google

LAMAN UTAMA

RASA BERSALAH

Sedaya upaya aku berazam mahu mengejar keberkatan khatam kesemua 114 surah di Al-Quran. Sedaya upaya aku berusaha mendisiplinkan diriku dengan membaca sejuzuk sehari atau mendengar sejuzuk setarawih. Namun aku hadirkan RASA BERSALAH sepanjang aku "melintasi" setiap ayat demi ayat Tuhan tanpa aku mengetahui terjemahannya, memahami maknanya. Setiap yang zahir ada batinnya. Setiap yang tersurat ada tersiratnya. Setiap mata kasar ada mata hatinya. Setiap surah ada sirahnya. Setiap teks ada konteksnya.

Aku hadirkan RASA BERSALAH kerana membaca Kitabullah dengan sebelah mata sahaja demi mengejar keberkatan sebuah ganjaran khatam Al-Quran. Dengan RASA BERSALAH itu, aku mengharapkan aku akan khatam 30 juzuk Al-Quran nanti dengan penuh "pemberontakan dalaman" akibat tidak berkesempatan menjenguk keindahan setiap surah, setiap ayat, setiap kalimah. Sehinggakan setiap kalimah terlalu istimewa bagi yang memahami fungsi nahu saraf bahasa Al-Quran. Setiap kalimah seperti sebuah bilik indah yang menunggu setiap insan yang singgah menjenguk agar sudilah singgah berehat seketika menikmati keindahan dan kedamaian yang disediakan. Aku hadirkan RASA BERSALAH kerana aku tidak mampu menerima jemputan bersandar seketika di setiap bilik indah ini.

Aku RASA BERSALAH  kerana membaca "Book of Allah" ini bukan seperti membaca buku-buku lain. Ya Allah, pelihara ummatku dari fitnah besar bahawa kerja-kerja mempelajari makna Al-Quran adalah kerja "pelajar jurusan tafsir" sahaja dan bukannya kewajipan semua yang dijemput Allah bertemu Ramadhan. Bukankah Ramadhan bulan yang dikhususkan untuk aku memaknai penurunan Al-Quran ? Di mana kemuliaan Ramadhan jika tiada kena mengena dengan Al-Quran ? Bukankah satu-satunya kalimah Ramadhan di dalam Al-Quran berkaitan dengan Al-Quran dan bukannya berlapar berdahaga itu matlamatnya ?

Ya Allah, bimbinglah RASA BERSALAH dalam diriku ini agar aku tidak menzalimi Al-Quran selepas Ramadhan.

( FB : Syaari Ab Rahman )

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...