Nisfu Sya'ban biasanya
dimaksudkan 15 Sya'ban. Malam nisfu Sya'ban pula adalah malam 15
Sya'ban (14hb siangnya, malamnya, dipanggil malam 15 ).
Di
negara Arab dan Nusantara, biasanya dibacakan Yasin sebanyak tiga
kali pada malam Nisfu Sya'ban setiap satu dengan niat tersendiri, yang
akan diajarkan oleh para guru. Perkara ini hampir berlaku ijmak
padanya, memandangkan dilakukan oleh para Fuqaha' zaman berzaman dari
dahulu lagi.
Perkara ini tidak dinisbahkan kepada
Rasulullah sendiri. Akan tetapi ia boleh dilakukan selagi mana ibadah
tersebut tidak bertentang dengan syara' (samaada dilakukan
bersendirian mahupun beramai-ramai itu sekadar satu teknik dakwah).
Contohnya, zikir, doa, membaca Al-Quran, membuat kelas ilmu dan
sebagainya.
Para ulamak kita di tempat lain (di
Mesir, beberapa tempat di Saudi, Yaman, Siria, Nusantara, dan
lain-lain) kebanyakannya tidak bersetuju dengan fatwa tersebut (Fatwa
Dr Yusof Al Qardhawi yang menolak amalan Yasin 3 kali dan mengatakan
ia adalah bid'ah yang diada-adakan). Oleh kerana itulah amalan
beramai-ramai pada malam Nisfu Sya'ban ini dilakukan oleh para ULAMA'
zaman berzaman di merata tempat sejak zaman salaf lagi.
Di bawah ana nukilkan tulisan Sidi Abu Muhammad pada menceritakan Nisfu Sya'ban dengan jelas dan adil ya...
Adapun
kelebihan Malam Nishfu Sya'baan itu telah disebutkan di dalam hadis
shahih daripada Mu`az bin Jabal radhiallahu `anhu, bersabda Rasulullah
Shallallahu `alaihi wa sallam yang maksudnya :
"Allah memandang kepada semua makhlukNya di Malam Nishfu Sya'baan,
maka diampunkan dosa sekalian makhlukNya kecuali orang yang
menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan."
(Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabrani dan Ibnu Hibban)
Di
Malam Nishfu Sya'baan juga, adalah di antara malam-malam yang
dikabulkan doa. Berkata Imam asy-Syafi`ie dalam kitabnya al-Umm:
"Telah
sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada
lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari
Raya `Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nishfu
Sya'baan."
Malam Nishfu Sya'baan merupakan malam
yang penuh rahmat dan pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Kenyataan ini dapat direnung kepada hadis yang diriwayatkan oleh Mu`az
bin Jabal radhiallahu `anhu di atas.
Adapun cara
menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan sebagaimana yang dilakukan sekarang
ini tidak berlaku pada zaman Nabi shallallahu `alaihi wasallam dan
zaman para sahabat. Akan tetapi ia berlaku pada zaman tabi`in dari
penduduk Syam. Menyebut al-Qasthalani dalam kitabnya al-Mawahib
al-Ladunniyah, bahawa para tabi`in daripada penduduk Syam seperti
Khalid bin Ma'dan dan Makhul, mereka beribadat dengan
bersungguh-sungguh pada Malam Nishfu Sya'baan. Maka dengan perbuatan
mereka itu, mengikutlah orang ramai pada membesarkan malam tersebut.
Para tabi`in tersebut menghidupkan Malam Nishfu Sya`baan dengan dua cara:
*
Sebahagian mereka hadir beramai-ramai ke masjid dan berjaga di waktu
malam (qiamullail) untuk bersembahyang sunat dengan memakai
harum-haruman, bercelak mata dan berpakaian yang terbaik.
*
Sebahagiannya lagi melakukannya dengan cara bersendirian. Mereka
menghidupkan malam tersebut dengan beribadat seperti sembahyang sunat
dan berdoa dengan cara bersendirian.
Ada pun cara kita
sekarang ini menghidupkan Malam Nishfu Sya'baan dengan membaca
Al-Quran seperti membaca surah Yaasiin, berzikir dan berdoa dengan
berhimpun di masjid-masjid atau rumah-rumah persendirian sama ada
secara berjemaah atau perseorangan adalah tidak jauh berbeza dengan apa
yang dilakukan oleh para tabi`in itu.
Berhubung dengan
persoalan sholat khas Nishfu Sya'baan, maka berlaku khilaf antara ulama
kita, ada yang mensabitkannya seperti Hujjatul Islam al-Ghazali dan
ada yang memandangnya sebagai bid`ah yang keji. Khilaf berlaku pada
pengkhususan sholat yakni memandang adanya satu sholat khusus malam
tersebut seperti tarawih atau sholat hari raya. Untuk keluar dari
khilaf bagi sesiapa yang hendak bersholat, maka lakukanlah
sholat-sholat sunnat seperti sunat Awwabin (di antara waktu Maghrib
dan Isya`), sembahyang tahajjud, akhirnya sembahyang witir atau
sembahyang sunat muthlaq . Sembahyang sunat muthlaq ini boleh
dikerjakan pada bila-bila masa sahaja sama ada pada Malam Nishfu
Sya'baan atau pada malam-malam yang lain.
Sedikit tambahan lagi:
Amalan-amalan
ini merupakan teknik yang pelbagai dalam menyampaikan dakwah oleh
para ulama silam yang amat pakar dalam menyampaikan dakwah mereka ke
seluruh pelusuk dunia. Adapun teknik-teknik amalan yang dilakukan oleh
sesetengah pihak bergantung kepada para ulamak yang mengajarkan dan
kepada siapa diajarkan. Semuanya adalah dibenarkan selagi mana tidak
melanggar syara'. Samaada hendak solat sunnah, berzikir atau membaca
Al-Quran bergantung kepada kemampuan individu.
Perkara-perkara
ini tidak patut sama sekali diperselisihkan atau ditentang. Biarlah
manusia lain ingin beramal sedanyanya tanpa kita sibuk menutup
jalan-jalan kebajikan ini. Apapun perkara ini adalah dalam batasan
perselisihan yang dibenarkan oleh syara'. Berlapang dadalah jika pihak
lain tidak bersetuju dengan kita, selagi mana menjaga akhlak Islam.
Malang
sekali jika perkara-perkara besar dalam masyarakat tidak dihiraukan,
tetapi kita lebih suka membicarakan adakah boleh melakukan amalan pada
malam nisfu Sya'ban atau tidak. Tetapi, kita lebih risau jika
digolongkan di kalangan mereka yang menentang apabila perbuatan makruf
dilakukan, manakala apabila perbuatan mungkar dilakukan, duduk diam
sahaja tidak endah. Na'udzubillah min zalik. Inilah akibatnya jika
tidak mempunyai kefahaman jitu dalam ikhtilaf serta ujub dengan diri
sendiri dalam ilmu yang dimiliki.
Semoga kita sama-sama
dapat menggarap kemuliaan malam Nisfu Sya'ban yang menjelang. Semoga
Allah menggolongkan kita di kalangan mereka yang mendapat pengampunan
dan rahmat-Nya pada malam tersebut. Amiin.
Wallahu A'lam
dari Ustaz Abdul Kadir Al Jofree
No comments:
Post a Comment