Memperbetul tujuan semata-mata kerana Allah S.W.T.
Sesuatu pekerjaan itu hanya menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala dari Allah S.W.T. apabila:
- diniatkan semata-mata untuk mematuhi perintah Allah S.W.T.;
- caranya menepati syariat yang ditetapkan;
- tidak berlaku sebarang penyelewengan; dan
- ibadah wajib seperti sembahyang, berpuasa, berzakat dan lain-lain tidak ditinggalkan.
Oleh itu, elakkan diri dari mengerjakan haji dan umrah kerana sebab-sebab sosial, ekonomi, politik atau tujuan-tujuan lain.
Mendapatkan ilmu yang cukup
Setiap ibadah termasuk umrah
yang dikerjakan tanpa ilmu adalah sia-sia. Ini kerana kerja-kerja
ibadah tidak boleh dibuat secara ikut-ikutan sahaja. Selok belok
pelaksanaan ibadah umrah perlu dipelajari dan difahami supaya dapat
dikerjakan dengan sempurna sewaktu di Tanah Suci tanpa bergantung
kepada orang lain.
Menggunakan sumber wang yang halal
Ibadah umrah adalah merupakan
salah satu persembahan kepada Allah S.W.T. Sama ada diterima atau
sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana sempurnanya ibadat itu
dilaksanakan dan sebersih mana pula wang ringgit yang digunakan.
Pastikan wang ringgit yang
digunakan untuk menunaikan umrah (tambang menambang, makan minum,
penginapan dan lain-lain) malah yang digunakan untuk kehidupan
seharian adalah dari sumber yang halal lagi bersih dari sebarang
penyelewengan atau penindasan. Mata pencarian yang haram, selain dari
berdosa, boleh menyebabkan hilangnya keberkatan dalam kehidupan.
Menjaga kesihatan jasmani dan rohani
Pelaksanaan ibadah umrah
memerlukan kesihatan fizikal dan mental serta kestabilan emosi. Bakal
jemaah hendaklah menjaga kesihatan menerusi pemakanan yang baik dan
seimbang serta memperbanyak aktiviti riadah. Selain itu, jemaah
hendaklah melatih diri supaya bersikap positif dan bijak mengawal
perasaan.
Menyempurnakan semua rukun Islam yang lain
Ibadah haji adalah rukun yang
kelima dan terakhir selepas mengucap dua kalimah syahadah mengerjakan
sembahyang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengeluarkan
zakat.
Bakal-bakal jemaah umrah perlu
terlebih dahulu mempunyai kefahaman yang sempurna bersabit tuntutan
Syahadah, sembahyang, puasa dan zakat serta melaksanakannya.
Memperbanyakkan amalan sedekah
Sesuatu yang boleh meringankan
bebanan orang lain (termasuk suami, isteri, ibubapa, saudara mara,
sahabat handai, faqir miskin, anak yatim dan sebagainya) sama ada
dalam bentuk wang ringgit, tenaga hatta senyuman atau perwatakan ceria
adalah sedekah. Amalan sedekah membantu menambah pahala, mengurangkan
dosa dan membantu hubungan sesama manusia.
Bakal jemaah digalakkan
memperbanyakkan sedekah sewaktu di Tanah Air dan juga di Tanah Suci
nanti. Ia membahagiakan pihak yang menerima dan turut membahagiakan
pihak yang memberi. Sewaktu berada di Tanah Suci pula, para jemaah
hendaklah menggunakan sebaik-baiknya kesempatan untuk memberi khidmat
kepada mereka yang memerlukan.
Menunaikan sembahyang berjemaah
Matlamat menunaikan ibadah umrah
ke Tanah Suci Makkah antara lain ialah untuk memanfaatkan masa yang
ada sebaik mungkin untuk beribadah terutamanya di Masjidil Haram.
Peluang berada di Tanah Suci Makkah hendaklah digunakan sebaiknya
untuk beribadah sebaik mungkin seperti menunaikan solat berjemaah.
Menjauhi amalan-amalan syirik
Menyengutukan Allah adalah
merupakan salah satu dosa besar. Tidak selayaknya orang yang hendak
menjadi tetamu Allah membuat kerja-kerja syirik seperti beramal dengan
ilmu sihir, bergantung hidup kepada tangkal azimat dan sebagainya.
Selain itu, bakal-bakal jemaah
hendaklah menghindari sifat suka mengejar kebendaan dan kesenangan
hidup sehingga meremehkan soal halal dan haram, dosa dan pahala serta
syurga dan neraka.
Memperbaiki akhlak dan menghindari sifat-sifat mazmumah (tercela)
Tanah Suci Makkah adalah tempat
orang memperlihatkan peribadinya yang sebenar. Orang yang hendak
menjadi tetamu Allah S.W.T. hendaklah mempunyai adab yang baik sama
ada dari segi perbuatan, percakapan malah niat di hati.
Sifat-sifat buruk seperti hasad
dengki, sombong, takabbur, panas baran, suka mendedahkan aurat, suka
bermegah-megah dan lain-lain hendaklah dijauhi. Menurut maksud hadith,
hasad dengki menghapuskan amal kebaikan seseorang sepertimana api
membakar hangus kayu api.
Tanah Suci Makkah juga adalah
tempat pertembungan umat Islam dari segenap pelusuk dunia. Sifat-sifat
murni seperti sabar, ikhlas, syukur, tolong-menolong, ramah dan
sebagainya akan dapat memudahkan interaksi sesama jemaah.
Membersihkan diri dari dosa
Sebelum berangkat ke Tanah suci bakal jemaah hendaklah bertaubat dengan:
- meninggalkan serta merta perbuatan yang telah menimbulkan dosa;
- berazam dengan sepenuh hati tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi;
- merasa kesal yang amat sangat di atas perbuatan dosa itu; dan
- jika dosa itu ada kaitan
dengan manusia, perlu mendapatkan kemaafan dan pernyataan halal bagi
kesalahan yang dilakukan dan hak yang diambil dari manusia tersebut.
Berdoa dan bertawakkal
Perancangan Allah S.W.T.
mengatasi segala perancangan makhluk-Nya. Segala persiapan yang telah
dibuat tidak dapat menjamin ibadah umrah dapat dilakukan dengan
sempurna. Justeru, para jemaah perlu banyak berdoa kepada Allah
S.W.T., memohon keampunan dan pertolongan-Nya.
Para jemaah juga sebaiknya
memperbanyakkan sembahyang sunat Tahajjud, Tasbih, Taubat dan Hajat
menjelang keberangkatan dan juga sepanjang berada di Tanah Suci.
No comments:
Post a Comment